AM

JABATAN MUZIUM REKOD LEBIH 1.3 JUTA PENGUNJUNG DALAM TEMPOH LAPAN BULAN

28/09/2024 07:22 PM

KUANTAN, 28 Sept (Bernama) -- Jabatan Muzium Malaysia merekodkan lebih 1.3 juta pengunjung dalam tempoh lapan bulan tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan dua juta pengunjung di 22 muzium seliaan jabatan itu di seluruh negara tahun ini dengan pelbagai aktiviti menarik telah dan akan dianjurkan kepada orang ramai. 

"Daripada segi bilangan pengunjung adalah menggalakkan dan menunjukkan peningkatan... setiap pengurusan muzium ada KPI (petunjuk prestasi utama) dan berusaha adakan program untuk tambah bilangan pengunjung.

"Saya harap semua pengurusan muzium di Malaysia dapat merangka sesuatu supaya muzium dapat dijadikan sebahagian daripada produk pelancongan yang sesuai sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak @ Muzium Sungai Lembing 2024: Muzium dan Pendidikan. 

Hasnol Zam Zam juga berkata muzium mesti 'membuka pintu' kepada masyarakat khususnya golongan muda dan tidak hanya eksklusif kepada kumpulan tertentu atau pengkaji sejarah. 

"Usaha mendekatkan muzium dengan masyarakat adalah pendekatan strategik yang penting untuk memberikan nilai tambah kepada pelaburan kerajaan bagi menyimpan dan memelihara khazanah yang ada di sini," katanya. 

Beliau turut memaklumkan Jabatan Muzium melaksanakan Kempen Derma Koleksi dan orang ramai boleh menyerahkan koleksi peribadi terpilih masing-masing kepada pihak muzium.

Hasnol Zam Zam berkata nama penderma akan dipaparkan pada kapsyen pameran sekiranya koleksi mereka dipamerkan selain layak menerima pelepasan cukai. 

Orang ramai yang berminat untuk menyerahkan koleksi peribadi boleh melengkapkan borang di www.jmm.gov.my dan menyertakan deskripsi koleksi serta gambar di e-mel koleksi@jmm.gov.my. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan