DUNIA

UNGA79: MALAYSIA SOKONG PERPADUAN SELATAN GLOBAL, PENYELESAIAN ADIL UNTUK CABARAN IKLIM DAN PEMBANGUNAN

29/09/2024 05:18 AM

Daripada Nabilah Saleh

NEW YORK, 28 Sept (Bernama) – Malaysia telah mengemukakan hujah kukuh bagi penyertaan lebih besar negara-negara Selatan Global dalam tadbir urus sejagat,  pembangunan  pembiayaan dan tindakan iklim, selain menegaskan bahawa suara negara-negara membangun tidak lagi boleh dipinggirkan.

Dalam ucapannya pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 pada Sabtu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan wawasan Malaysia untuk satu orde dunia yang lebih adil dan saksama.

“Negara-negara  Selatan Global terus menghadapi peminggiran dan kekurangan wakil dalam bidang penting seperti pembangunan sosioekonomi, mitigasi iklim, pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur,” kata Mohamad.

Beliau juga berkata banyak mekanisme antarabangsa sudah ketinggalan zaman dan sering membebankan  negara-negara membangun serta mengabaikan keperluan kritikal mereka.

Mohamad turut menekankan cabaran besar yang dihadapi oleh negara-negara ini, khususnya kekurangan infrastruktur dan teknologi, yang mengehadkan keupayaan mereka untuk menyertai inisiatif global sepenuhnya.

“Cabaran besar yang kita hadapi adalah mencapai akses saksama kepada pembiayaan pembangunan,” katanya, menyeru model pembiayaan inovatif yang menyokong kemampanan, pemuliharaan, dan tindakan iklim, serta pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Berhubung krisis iklim, Mohamad menyifatkannya sebagai “cabaran paling mendesak pada masa kita,” sambil menyatakan bahawa kesannya sudah dirasai merentas sempadan, mengganggu ekonomi dan memindahkan komuniti.

“Krisis ini bukan lagi ancaman yang jauh kerana ia telah tiba di depan pintu kita,” katanya, merujuk kepada data saintifik yang menunjukkan pemanasan yang belum pernah berlaku sebelum ini, peristiwa cuaca ekstrem, dan paras laut yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan bahawa usaha nasional sahaja tidak mencukupi dan tindak balas global mesti merangkumi pembiayaan iklim, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti untuk membantu negara-negara membangun.

Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kesatuan dalam kalangan negara-negara  Selatan Global , menekankan bahawa solidariti adalah kunci untuk menangani cabaran bersama.

“Malaysia percaya pada kekuatan Perpaduan Selatan Global. Wawasan kami adalah untuk mempromosikan keamanan, pembangunan, dan satu orde dunia multipolar di mana suara negara-negara Selatan diperkasakan.

“Selatan Global mempunyai potensi besar untuk memajukan perjuangan keamanan dan keadilan. Melalui sokongan dan kerjasama bersama, kita dapat memastikan kemajuan saksama untuk semua.

“Keperluan dan aspirasi negara-negara  Selatan Global mesti diberi perhatian sewajarnya. Penting bahawa kita tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” kata Mohamad.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah  "Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang."

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan