AM

CHE ADAM 'PERAGAKAN' TENUN PAHANG DIRAJA DI KEM INDUK EVEREST

29/09/2024 01:46 PM

KUANTAN, 29 Sept (Bernama) -- Busana yang dihasilkan daripada tenun Pahang diraja sering kali digayakan dalam majlis rasmi atau perkahwinan, namun lain pula bagi Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman yang mengetengahkan tekstil itu ketika berada di kem induk Everest (EBC). 

Beliau dengan bangganya mengenakan sepersalinan lengkap baju Melayu hitam bersama keris dengan tanjak dan samping daripada kain tenun Pahang diraja semasa di kem induk itu, antara lain bertujuan membawa imej dan budaya Pahang ketika menyertai ekspedisi pendakian EBC dari 9 hingga 25 Sept lepas. 

"Saya memang gemarkan kelainan, dalam masa yang sama nak ketengahkan identiti Pahang itu sendiri, dan beberapa bulan sebelum berangkat ke ekspedisi itu timbul idea untuk memakai tanjak Pahang dan samping dihasilkan daripada tenun Pahang diraja. 

"Selain itu, tujuan saya juga adalah untuk martabatkan tenun Pahang ini sendiri yang mana kita sedia maklum ia merupakan ikon dan warisan negeri Tok Gajah," katanya kepada Bernama.

Lebih menarik, rona kain untuk menghasilkan tanjak dan samping yang dipilih adalah hitam dan putih iaitu sinonim dengan bendera negeri Pahang bersama corak berjalur mendatar yang mana perbelanjaan bagi mendapatkan tekstil sepanjang kira-kira dua meter itu mencecah ribuan ringgit. 

Che Adam, 49, berkata beliau mendapatkan fabrik berkenaan daripada koleksi Penjara Penor di sini. 

Berkongsi cabaran ketika mengenakan sepersalinan lengkap baju Melayu ketika tiba di kem induk berkenaan tepat pukul 11.10 pagi waktu tempatan (1.25 tengah hari waktu Malaysia) 18 Sept lepas, beliau berkata pendaki terpaksa berhadapan dengan suhu sekitar -1 hingga 1 darjah Celsius ketika berada di paras 5,364 meter. 

"Setelah lapan hari pendakian kami berjaya sampai ke EBC dan saya sempat berpakaian baju Melayu lengkap berkenaan, Alhamdulillah semua berjalan lancar meskipun ada beberapa cabaran perit ketika mendaki, antaranya permukaan trek itu sendiri. 

"Selain jumlah jam pendakian yang lama ditambah cuaca sejuk dan keadaan oksigen yang semakin menipis ketika berada di ketinggian 3,500 meter juga antara cabaran dan pengalaman yang tidak akan dilupakan," katanya yang aktif dengan aktiviti pendakian sejak 1997.

Bagaimanapun bapa kepada empat anak itu berkata kesabaran dan dugaan yang dilalui ternyata berbaloi, apabila panorama flora dan fauna yang indah menawan itu menjadi hidangan pemandangan yang tidak mungkin dilupakan pendaki sepanjang laluan ke EBC. 

"Penat lelah saya bersama rakan pendaki lain melakukan persiapan dengan mengadakan latihan beberapa bulan sebelum ke sana ternyata membuahkan hasil selepas kami dapat melihat keindahan gunung -ganang di banjaran Himalaya itu," katanya yang juga penderma darah tegar sejak 20 tahun lepas. 

Beliau yang sudah menderma darah sebanyak 96 kali itu turut memaklumkan dalam usaha menjelajah seluruh Malaysia bagi menjalankan projek derma darah yang dijangka berakhir pada tahun depan. 

Che Adam merupakan antara 38 pendaki Malaysia yang berjaya tiba di EBC menerusi ekspedisi  sempena memuliakan hari ulang tahun keputeraan Sultan Pahang ke-65 yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kakitangan pejabat Sultan Pahang dan pengamal media. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan