AM

JAKOA PERUNTUK RM4.3 JUTA BAGI PEMBANGUNAN PROGRAM SUKAN ORANG ASLI TAHUN INI

30/09/2024 12:25 PM

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan sebanyak RM4.3 juta untuk pembangunan Program Modal Insan bagi membolehkan belia Orang Asli terlibat dalam sukan dan gaya hidup sihat.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata program tersebut juga bagi merapatkan hubungan antara 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia melalui aktiviti sukan.

“Program ini juga dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan belia Orang Asli melalui persaingan yang sihat, seklai gus memupuk semangat kesukanan dalam masyarakat,” katanya dalam ucapan merasmikan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, pada Sabtu.

Muhd Khair Razman berkata ramai atlet sukan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini yang telah mewakili negara di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa, termasuk atlet kriket Zumika dan Sasha Azmi serta atlet sukan layar Norashikin Mohamad Sayed yang mewakili negara ke sukan SEA.

Selain itu, Nia Vanessa Suhann, atlet sukan basikal lasak yang menyertai pelbagai pertandingan di Manila,Filipina, Thailand dan Indonesia.

"Baru-baru ini, seorang kanak-kanak Orang Asli suku Bateq dari Kampung Aring 5, Pos Lebir, Gua Musang, Sa’ap Baharom, yang berumur 12 tahun, telah ditawarkan untuk menyertai Akademi Johor Darul Takzim (JDT) oleh Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia JDT, Diego Griffa,” katanya.

Selain itu, atlet Orang Asli Noorazrul Jamirul Jamrus, yang berusia 19 tahun dan mewakili kontinjen Negeri Sembilan, baru-baru ini meraih pingat emas dalam acara gimnastik artistik pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke-21, di Sarawak.

"Perkembangan ini menunjukkan peningkatan minat dan bakat dalam kalangan belia Orang Asli untuk bersinar dalam bidang sukan. Ini bukan sahaja mencerminkan kemampuan atlet tersebut tetapi juga memberi harapan untuk lebih banyak kejayaan dalam bidang sukan di masa depan,” katanya.

Sementara itu, seramai 384 atlet Orang Asli menunjukkan bakat mereka dalam acara padang dan trek di Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) 2024 kali ini. Peserta terdiri daripada belia dan beliawanis berumur 18 tahun ke atas, yang telah dipilih melalui saringan di peringkat negeri sejak April 2024.

Pahang muncul sebagai juara keseluruhan dengan meraih 21 pingat, diikuti oleh Selangor sebagai naib juara dengan 11 pingat. Tuan rumah, Perak, dan Kedah masing-masing pulang dengan enam pingat.

Penganjuran kali ini adalah yang ke-3 dan diadakan di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mengenal pasti bakat-bakat atlet yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan