EKONOMI

AIRASIA GESA LANDSKAP PERJALANAN UDARA ASEAN BERSIFAT LEBIH LIBERALISASI

30/09/2024 03:38 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Walaupun operasi berkembang pesat di negara-negara ASEAN utama, kesukaran berterusan AirAsia untuk mendapatkan lesen operasi di Singapura mengetengahkan cabaran utama dalam sektor penerbangan - konflik antara perlindungan nasional dan keperluan kepada persaingan terbuka.

Selain Malaysia, AirAsia beroperasi di Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Bagaimanapun, permohonan syarikat penerbangan tambang rendah itu telah ditolak sebanyak tiga kali oleh negara tersebut. 

Pakar Ekonomi Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (Penerbangan dan Aeroangkasa) Universiti Kuala Lumpur Profesor Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian menyokong penubuhan AirAsia Singapura dan mendapatkan entiti penerbangan di Singapura oleh AirAsia.

“Konsep pasaran terbuka perlu diterima pakai oleh negara-negara ASEAN apabila terdapat pelbagai pilihan penerbangan untuk pengguna dan persaingan harga akan dikawal oleh kuasa pasaran, yang akan memberi manfaat kepada pengguna,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata penerbangan merupakan ekosistem yang dinamik apabila evolusi dalam teknologi, kaedah, peraturan, harga dan faktor lain berlaku setiap 10 hingga 15 tahun atau kurang daripada tempoh tersebut. 

Katanya ini sering membawa kepada perubahan dalam tenaga kerja berikutan pekerja mencari penempatan di organisasi yang menghargai pengalaman dan kepakaran mereka mengikut kecekapan teknologi yang diraih melalui proses evolusi.

Bagi keadilan dari segi perundangan dan ekonomi serta menggalakkan pasaran terbuka dan bebas di rantau ASEAN, katanya ia adalah langkah yang baik dan selaras dengan semangat ASEAN untuk Singapura memenuhi keperluan syarikat antarabangsa, sekali gus mewujudkan ekosistem penerbangan yang kompetitif di rantau ini.

“Saya menyokong pandangan (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri) Tony Fernandes bahawa penting untuk pengguna mempunyai banyak pilihan bagi perkhidmatan penerbangan.

“Ini akan membawa kepada ekosistem penerbangan yang kompetitif apabila syarikat penerbangan akan meningkatkan perkhidmatan penerbangan mereka dan menawarkan pelbagai pakej untuk dipilih oleh pengguna,” katanya.

Selain itu, beliau percaya syarikat penerbangan akan mendapat tarikan dari segi berteraskan pengguna, yang akan memberi manfaat kepada industri penerbangan.

Pada masa ini, Singapura mempunyai empat pemegang sijil perakuan pengendali udara (AOC): Singapore Airlines Ltd, Jetstar Asia Airways Pte Ltd, Scoot Pte Ltd dan ST Engineering Defence Aviation Services Pte Ltd.

Awal bulan ini, BBN Airlines Indonesia, sebuah syarikat penerbangan kargo, dilaporkan telah menerima permit pengendali asing (FOP) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Selain itu, persoalan timbul selepas SIA Engineering Company (SIAEC) menandatangani perjanjian 15 tahun dengan anak syarikat Khazanah Nasional, Impeccable Vintage Properties baru-baru ini, untuk menyewa dua hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Tony menyatakan sokongannya atas kehadiran SIAEC di Malaysia berikutan potensi manfaatnya kepada negara dan ekonomi tetapi menggesa kepada keadilan berhubung tiada kelulusan untuk AirAsia Singapura.

Dalam catatan terbaharu di LinkedIn, Tony turut menggesa kepada ketelusan daripada SIAEC berhubung pengambilan pekerja kejuruteraan Malaysian Airlines Bhd (MAS) baru-baru ini, menunjukkan kurang daripada 10 peratus pengambilan pekerja baharu SIAEC daripada cabang kejuruteraan MAS.

Pengasas dan Penganalisis Penerbangan Endau Analytics Shukor Yusof berkata Malaysia telah melahirkan bakat penerbangan berkemahiran tinggi selama beberapa dekad tetapi ramai yang telah berpindah ke syarikat penerbangan Gulf, bukan hanya Singapura.

“Tiada kekurangan bakat tempatan dalam bidang kejuruteraan. Langkah untuk memastikan mereka gembira di Malaysia, dengan syarikat penerbangan tempatan, adalah suatu cabaran yang berbeza dan tiada penyelesaian ditemui. Ini terpakai dalam semua industri, merentasi semua kaum,” katanya.

Bagi menyelesaikan isu ini, katanya ia memerlukan ketulusan dan kesediaan untuk berubah berikutan semakin lama suatu masalah dibiarkan, semakin teruk masalah tersebut.

Mungkin menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan untuk mewujudkan program latihan khusus antara kedua-dua negara dapat memastikan aliran profesional mahir yang stabil.

Sudah tiba masanya bukan sahaja Singapura tetapi juga negara-negara lain di rantau ini untuk mempertimbangkan semula pendirian mereka dan mengamalkan semangat integrasi ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan