AM

KOLEJ KOMUNITI LAHIR TENAGA KERJA KOMPETEN, DINAMIK DAN BERINTEGRITI

30/09/2024 04:48 PM

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti yang mencapai 98.6 peratus tahun lepas bukan sahaja mengukuhkan reputasi institusi itu sebagai peneraju dalam bidang pendidikan vokasional, malah menjadi bukti memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Ali Selamat berkata ia juga membuktikan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) bukan sahaja relevan, tetapi kritikal dalam melahirkan tenaga kerja kompeten, dinamik, dan berintegriti.

“Melalui pendidikan berasaskan kemahiran yang relevan dan program latihan terkini, Kolej Komuniti melahirkan graduan bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran pekerjaan, tetapi juga mampu memimpin perubahan, mencipta peluang baharu, dan mendorong inovasi,” katanya pada majlis perasmian Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak yang diadakan di Dewan Jubli, Politeknik Ungku Omar di sini.

Seramai 859 orang graduan diraikan di dalam majlis itu dan Kolej Komuniti Negeri Perak telah berjaya melahirkan sejumlah 15,499 graduan sejak penubuhannya pada tahun 2001.

Sementara itu, Ali berkata pencapaian cemerlang itu bukanlah satu kebetulan tetapi hasil usaha berterusan dan kolaborasi rapat antara Kolej Komuniti dan industri, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Dalam pada itu, beliau juga amat menggalakkan graduan agar menceburi bidang keusahawanan.

“Menjadi usahawan bermakna anda bukan sahaja mencipta peluang untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang lain, ia adalah jalan untuk anda menjadi penggerak ekonomi, pencipta inovasi, dan pembina komuniti,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan