DUNIA

INDONESIA SAHKAN LIMA PERJANJIAN KERJASAMA PERTAHANAN

30/09/2024 06:05 PM

JAKARTA, 30 Sept (Bernama-ANTARA) -- Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia meluluskan lima rang undang-undang untuk mengesahkan perjanjian kerjasama pertahanan dengan Kemboja, India, Perancis, Emiriah Arab Bersatu dan Brazil, lapor agensi berita ANTARA.

Speaker Suruhanjaya I DPR, Meutya Hafid berkata bahawa suruhanjaya dan kerajaan sebelum ini bersetuju untuk meneruskan proses perundangan rang undang-undang itu semasa mesyuarat kerja yang diadakan di Jakarta pada 25 Sept.

Meutya menegaskan bahawa lima perjanjian ini mencerminkan diplomasi pertahanan yang berjaya oleh Indonesia, yang dijangka dapat mengelakkan potensi ancaman keselamatan dan meningkatkan industri pertahanan negara.

"Kerjasama pertahanan ini terjalin dengan negara-negara sahabat seperti India, Perancis, Emiriah Arab Bersatu, Kemboja, dan Brazil," katanya.

Beliau berharap pemeteraian perjanjian ini akan membawa kepada kerjasama pertahanan yang adil dan saling menguntungkan serta menghormati kedaulatan negara masing-masing.

Dalam mesyuarat dengan Suruhanjaya I DPR, Menteri Pertahanan dan Presiden terpilih, Prabowo Subianto juga menekankan kepentingan perjanjian ini memandangkan peranan penting dan teknologi yang dimiliki negara-negara terbabit.

"Mengenai Kemboja, sebagai anggota ASEAN, menjadi kepentingan kita untuk melindungi dan memperkukuh rakan kita dalam ASEAN," katanya.

Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama pertahanan dengan India, Perancis, Emiriah Arab Bersatu, dan Brazil.

--BERNAMA-ANTARA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan