AM

PM BERTEMU KHABIB, BINCANG ISU PEMBANGUNAN UMMAH

30/09/2024 09:19 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan bekas juara dunia Ultimate Fighting Champion (UFC) bagi kategori lightweight iaitu Khabib Nurmagomedov.

Jaguh seni bela diri campuran (MMA) itu tiba di Kompleks Seri Perdana di sini, yang juga kediaman rasmi Perdana Menteri pada 6.30 petang.

Pertemuan hampir sejam yang disusuli dengan jamuan makan malam itu antara lain menyentuh isu berkaitan hal ehwal Islam, pembangunan ummah dan Palestin.

Hadir sama isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Turut hadir Pengarah Urusan Weststar Group Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, aktivis hak asasi dan profesor undang-undang dari Amerika Syarikat Khaled A.Beydoun serta atlet renang Palestin Yazan Al Bawwab.

Anwar berkata Khabib, Khaled dan Yazan merupakan sumber inspirasi yang cemerlang dalam bidang masing-masing tanpa mengetepikan aspek berkaitan ihsan serta rahmah.

“Saya melihat pentingnya peranan personaliti seperti Khabib, Khaled dan Yazan menjadi inspirasi bahawa seorang Islam yang baik bukan sahaja terbaik dalam profesion namun mampu menonjolkan nilai yang bertunjangkan ihsan serta rahmah khususnya dalam menghadapi gejala Islamofobia,” menurutnya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama para hadirin.

Khabib, 36, mencetuskan fenomena dalam MMA apabila memegang rekod sebagai juara kelas lightweight UFC yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod 29-0 dan beliau turut disenaraikan dalam UFC Hall of Fame 2022.

Atlet kelahiran Dagestan, Rusia, itu berada di Malaysia untuk memenuhi program 'Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024' yang berlangsung di ibu negara semalam.

Pada 2020, Khabib mengumumkan persaraan selepas pertarungan menentang Justin Gaethje pada saingan UFC 254 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan