AM

YBR SALUR BANTUAN KEWANGAN RM3,000 KEPADA MAHASISWI UM

30/09/2024 09:50 PM

KOTA BHARU, 30 Sept (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menghulurkan bantuan berjumlah RM3,000 kepada mahasiswi Universiti Malaya (UM) Nur Fatihah Mohammad, 24, yang merupakan anak yatim piatu bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan geografi.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata bantuan berkenaan diharap dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung Nur Fatihah untuk membuat persiapan kemasukan semester baharu serta membeli kelengkapan pengajian diperlukan.

Beliau berkata YBR terpanggil untuk menyalurkan bantuan setelah menerima permohonan pelajar berkenaan yang kehilangan ibunya pada Julai lepas akibat jangkitan kuman pada paru-paru manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak enam tahun lepas.

“Lebih menyayat hati apabila Nur Fatihah mempunyai empat adik-beradik berusia 12 sehingga 19 tahun yang perlu ditanggung dan dia kini menetap bersama ayah angkat yang mempunyai empat anak kandung serta merupakan pekerja buruh.

“Semoga bantuan yang disalurkan ini memberi semangat dan motivasi kepada Nur Fatihah untuk memperoleh keputusan yang cemerlang serta secara tidak langsung meningkatkan sosioekonomi keluarga pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Nur Fatihah di Kolej Za’aba UM hari ini.

Mengulas lanjut, Syaiful Rizal berharap lebih banyak organisasi atau orang ramai dapat sama-sama membantu meringankan bebanan kewangan yang ditanggung Nur Fatihah.

“Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Nur Fatihah boleh menghubunginya di talian 011-29332762,” katanya.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah YBR kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda bagi pengambilan tahun 2024 akan dibuka bermula esok sehingga 30 Okt ini.

Beliau berkata permohonan dan maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang www.yayasanbankrakyat.com.my.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan