AM

SIMPOSIUM KEBANGSAAN 2024 RINTIS HALA TUJU MENOKTAH KEMISKINAN TEGAR, GALAK PERTUMBUHAN INKLUSIF

30/09/2024 09:57 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan merintis hala tuju Malaysia bukan sahaja menumpukan usaha terhadap membasmi kemiskinan tegar, tetapi juga menggalakkan pertumbuhan inklusif di bawah Ekonomi MADANI, kata Prof Dr Yeah Kim Leng daripada Sunway University.

Beliau berkata usaha Malaysia dalam menoktahkan kemiskinan tegar juga memberikan pengajaran berharga kepada negara lain.

“Simposium ini menandakan satu langkah penting, dengan menekankan strategi baharu yang bukan sahaja menoktahkan kemiskinan tegar tetapi juga memastikan kemakmuran dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Malaysia telah mencapai kemajuan mengagumkan dengan berjaya menoktahkan kemiskinan tegar, seperti dilaporkan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya kepada Bernama di luar simposium sehari berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun Malaysia berada di ambang mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, kerajaan perlu menumpukan terhadap memastikan kemakmuran ekonomi dikecapi golongan berpendapatan rendah terutama kumpulan B40 dan B60.

Ekonomi MADANI diperkenalkan bagi menggantikan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang memiliki kerangka pelaksanaan menyeluruh dan selari dengan situasi ekonomi semasa.

 Yeah berkata pada masa ini negara mengalami tempoh ‘ledakan ekonomi’ dan sekiranya dapat dikekalkan, tumpuan perlu diberikan untuk mengangkat meningkatkan taraf hidup golongan B60 supaya dapat menikmati gaya hidup kelas pertengahan.

Beliau menambah kesejahteraan sosial merangkumi lebih daripada sekadar pendapatan, termasuk akses kepada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan peluang untuk meningkatkan pendapatan.

“Matlamatnya adalah supaya setiap rakyat Malaysia dapat hidup makmur, dengan sumber mencukupi untuk menikmati kualiti hidup tinggi. Tema utama simposium membincangkan cara untuk mempercepat pertumbuhan pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah serta mengecilkan jurang antara golongan kaya dan miskin,” katanya.

Yeah turut menekan bahawa walaupun negara sedang mengalami kemajuan, golongan M40 masih mengalami tekanan kewangan dan memerlukan bantuan tambahan.

Bagi menangani cabaran berkenaan, beliau mengesyorkan agar lantai pendapatan asas diwujudkan menerusi sistem pemindahan tunai yang lebih baik.

Selain bantuan pendapatan, Yeah menekankan kepentingan terhadap latihan semula, akses terhadap peluang pekerjaan dan keusahawanan sebagai usaha merangsang pertumbuhan pendapatan serta memperbaiki kehidupan golongan rentan. 

“Simposium ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar yang memastikan kemakmuran dinikmati bersama, dengan tumpuan kepada 60 peratus terendah dalam populasi,” katanya.

Bertemakan ‘Bersama, Berdaya dan Mampan’, simposium berkenaan menterjemah enam rukun MADANI yang memfokuskan kepada usaha menoktah kemiskinan iaitu ‘Bersama’ merujuk kepada pendekatan keseluruhan negara sebagai asas penting dalam usaha membawa kemajuan dalam pelbagai aspek, ‘Berdaya’ yang berkait dengan usaha memastikan kemampuan seseorang dalam mencapai sesuatu matlamat serta ‘Mampan’ dikaitkan dengan pelaksanaan usaha dan pencapaian secara berterusan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan