JENAYAH & MAHKAMAH

KONTRAKTOR RUGI LEBIH RM600,000 DITIPU SINDIKET PELABURAN TIDAK WUJUD

30/09/2024 11:07 PM

JOHOR BAHRU, 30 Sept (Bernama) -- Seorang kontraktor terpaksa berputih mata apabila kerugian RM688,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud yang dikenali sebagai DFA setelah melihatnya di laman Facebook pada 26 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 50 tahun itu yang berminat dengan pelaburan berkenaan telah berhubung dengan suspek dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan ‘WhatsApp’ pelaburan itu.

Beliau berkata mereka turut berhubung melalui panggilan video dan mangsa diajar cara-cara untuk melabur serta dijanjikan keuntungan sehingga 410 peratus melalui lima fasa pelaburan yang akan berjalan selama lima bulan dengan keuntungan setiap fasa sekitar 50 hingga 150 peratus.

“Mangsa juga diberikan surat perjanjian melalui WhatsApp dan diminta untuk memuat naik aplikasi pelaburan bernama ATS-P bagi urusan selanjutnya. Percaya dengan pelaburan, mangsa telah melakukan pembayaran melalui 17 transaksi antara 31 Jul hingga 8 Sept ke tiga akaun bank yang berbeza.

“Sehingga bulan Ogos lepas, mangsa yang telah berada di fasa keempat pelaburan dan melabur sebanyak RM688,000 mendapati ada dua kali pulangan wang berjumlah RM64,000, namun gagal untuk mengeluarkannya pada awal Sept,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, setelah gagal untuk mengeluarkan keuntungan, mangsa ketika berhubung dengan suspek terus diminta membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelan, namun enggan sehingga mengakibatkan akaunnya dibekukan sekali gus tidak dapat diakses lagi.

Mangsa yang mula rasa curiga telah membuat semakan di ibu pejabat syarikat dan dimaklumkan syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dengan pelaburan.

Setelah percaya dia telah ditipu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan