EKONOMI

SC AKAN PERKENAL SANDBOX PENGAWALSELIAAN UNTUK GALAKKAN TOKENISASI SEKURITI

01/10/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memperkenalkan rangka kerja sandbox pengawalseliaan yang dapat menyediakan persekitaran terkawal untuk menguji produk dan perkhidmatan inovatif sambil memastikan perlindungan pelabur.

Pengerusi Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif itu bertujuan untuk menggalakkan tokenisasi sekuriti dan membantu merangsang inovasi dalam pasaran modal.

"Sandbox ialah sebuah usaha kawal selia untuk meningkatkan dasar bagi memastikan kesesuaian tujuannya. Sebagai contoh, ia mungkin membenarkan tawaran token yang inovatif diuji dalam sandbox, selaras dengan usaha SC untuk membangunkan pendekatan agnostik teknologinya untuk sekuriti token dan mengenal pasti amalan terbaik.

"Dalam hal ini, SC akan membangunkan panduan awal pada tahun depan untuk syarikat pengantara memahami dan mengurus risiko berkaitan tokenisasi sekuriti," katanya berucap di majlis perasmian Sidang Kemuncak Fintech SCxSC 2024, bertemakan 'Where Innovation Meets Purpose'.

Sidang Kemuncak Fintech SCxSC tahun ini memberi tumpuan kepada kes penggunaan dan peluang teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan dan blockchain dalam pasaran modal.

Dalam usaha mengembangkan sandbox pengawalseliaan, Mohammad Faiz berkata SC akan bekerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd untuk menerokai terbitan bon token.

Di samping itu, SC bekerjasama dengan Khazanah Nasional sebagai bakal penerbit untuk meneroka bagaimana teknologi blockchain boleh meningkatkan kecekapan penerbitan dan operasi bon. Inisiatif ini meneroka penggunaan kontrak pintar dan pengaturan penjagaan.

Syarikat mempunyai masa sehingga April 2025 untuk memohon kohort pertama sandbox, tambahnya.

Pihak yang berminat dikehendaki mengambil bahagian dalam sesi praperundingan sebelum memohon dan sesi itu tersedia serta-merta.

Kepada pihak-pihak yang berminat boleh memulakan penglibatan dengan menghantar e-mel ke afinity@seccom.com.my.

Permohonan yang diterima akan mempunyai masa sehingga 12 bulan untuk menguji produk atau perkhidmatan mereka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan