AM

PEMAIN INDUSTRI TEMBAKAU, VAPE PERLU BUAT PERSEDIAAN SELARI PELAKSANAAN AKTA 852

01/10/2024 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pemain industri produk tembakau dan rokok elektronik (vape) perlu memanfaatkan garis masa yang diberikan untuk segera melaksanakan persediaan dalam aspek pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata ia susulan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa hari ini, serentak bersama-sama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya.

Beliau berkata tempoh enam bulan hingga setahun yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu digunakan dengan sebaiknya agar kesan buruk amalan merokok itu dapat dikurangkan. 

“Mereka seharusnya menganggap ini sebagai tempoh persediaan dan bukan 'tempoh bulan madu'. Bagi saya enam bulan itu cukup memadai untuk industri melaksanakan, kerana perkara ini bukan perkara baharu dan mereka sudah tahu,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini. 

Dr Lokman Hakim yang juga Felo Akademi Sains dan Akademi Perubatan Malaysia berharap KKM bertegas untuk tidak memanjangkan tempoh kawalan jualan terbabit. 

Sementara itu, Dr Lokman Hakim berkata kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu meningkatkan kempen kesedaran dengan meliputi setiap masyarakat khususnya individu yang tidak merokok. 

“Mereka (individu tidak merokok) ini perlu mendapatkan maklumat mengenai hak mereka untuk kekal sihat dan mendapatkan suasana yang selamat bagi mereka,” katanya. 

KKM menerusi kenyataan semalam memaklumkan Akta 852 melibatkan beberapa aspek dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.

Penguatkuasaan itu termasuk peruntukan berkaitan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

Menurut KKM penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan dari tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok dan kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

Selain itu, pembungkusan dan pelabelan yang akan dikuatkuasakan mengikut produk selewat-lewatnya 1 Okt 2025. 

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan