AM

ANWAR TIBA DI ISTANA NEGERI UNTUK PENGURNIAAN KEHORMATAN NEGERI KELANTAN

01/10/2024 08:44 PM

KOTA BHARU, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negeri Kubang Kerian di sini, hari ini bagi menghadiri majlis Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan.

Perdana Menteri dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Pengurniaan darjah berkenaan dibuat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang ke-55 Sultan Muhammad V pada 29 Sept lepas.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi catatan di laman Facebook merafak sembah dan menjunjung kasih terhadap Sultan Muhammad V atas pengurniaan Darjah Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Menerusi perkongsian beberapa keping gambar, turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Hadir sama isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Alhamdulillah. Semoga Allah melindungi Tuanku dunia dan akhirat. Dirgahayu Tuanku!” menurut catatan itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan