AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI KEDAH MENURUN, PERAK KEKAL

02/10/2024 09:24 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan penurunan kepada 633 orang daripada 212 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 840 mangsa daripada 268 keluarga, malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah Kota Setar merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 276 mangsa daripada 86 keluarga, diikuti Baling (247 mangsa, 92 keluarga) dan Pokok Sena (110 mangsa, 34 keluarga).

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air di tiga sungai menunjukkan trend peningkatan. Sungai Anak Bukit di Taman Aman, dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR melepasi paras amaran, manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, berada pada tahap waspada.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Kampar kekal seramai 16 orang daripada lima keluarga, masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan.

Selain itu, JPS turut memaklumkan bahawa paras air Sungai Perak di Kuala Kenderong, Hulu Perak kekal berada pada tahap bahaya dengan bacaan paras air setinggi 113.78 meter.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan