AM

FERI IKONIK DIJADIKAN MUZIUM AKAN DITUNDA KE SPCT

02/10/2024 12:16 PM

BUTTERWORTH, 2 Okt (Bernama) -- Feri ikonik Pulau Pinang yang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang akan ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), esok.

Kurator Muzium Feri Pulau Pinang Siti Faridah Hani Damsi berkata feri itu yang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam, dekat sini pada 2021 sedang giat dibaik pulih untuk dijadikan muzium oleh Syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd.

"Feri itu akan ditunda pada 12.30 tengah hari esok dan dijangka tiba di KTMB Swing Bridge sekitar 1 tengah hari sebelum berhenti seketika untuk menanti jambatan dibuka seterusnya pada 1.10 tengah hari,  penundaan feri akan diteruskan untuk berlabuh sementara waktu di SPCT.

"Kerja-kerja baik pulih feri itu telah siap kira-kira 60 hingga 70 peratus melibatkan kerja pembaikan utama, jadi ia ditunda ke SPCT untuk selesaikan baik kerja baik pulih sebelum diletakkan di Tanjung City Marina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata feri ikonik itu sememangnya memainkan peranan penting dalam sejarah perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Siti Faridah Hani berkata orang ramai dijemput untuk menyaksikan detik bersejarah itu sebagai feri terakhir yang melintasi KTMB Swing Bridge berikutan penutupan Bagan Dalam Slipway dan merakam detik terakhir feri ikonik itu menelusuri Selat Pulau Pinang.

Sebelum ini Bernama melaporkan feri ikonik Pulau Pinang yang dijadikan muzium feri terapung akan beroperasi penghujung tahun ini dan proses ubah suai telah mencapai 90 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin dilaporkan berkata feri ikonik itu akan diletakkan di Tanjung City Marina, George Town untuk kunjungan orang ramai dan kerja membaik pulih serta  pengubahsuaian dilaksanakan oleh syarikat swasta yang berkelayakan dengan kos mencecah jutaan ringgit.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan