EKONOMI

PETRONAS TANDATANGAN PERJANJIAN JUAL GAS LIMA TAHUN KEPADA SESB

02/10/2024 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), akan membekalkan gas kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk penjanaan kuasa di Sabah dan Labuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas negara (O&G) itu berkata di bawah perjanjian penjualan gas lima tahun yang ditandatangani pada 30 Jun, 2024, Petronas akan terus membekalkan 16 juta kaki padu gas sehari kepada SESB.

Petronas juga berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap penyelesaian tenaga yang cekap dan bertanggungjawab di mana gas akan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Sabah dan Labuan.

“Perjanjian ini sejajar dengan strategi Petronas yang lebih luas untuk memacu pertumbuhan melalui inisiatif tenaga mampan manakala SESB terus menumpukan kepada meningkatkan penyelesaian tenaga yang menyokong pembangunan sosioekonomi Sabah.

"Syarikat O&G kekal komited untuk memperoleh bekalan tenaga negara sambil memajukan operasi karbon rendah dan pelepasan rendah, sejajar dengan matlamatnya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," tambahnya.

Naib Presiden Kanan MPM Datuk Bacho Pilong berkata perjanjian itu adalah bukti perkongsian berterusan syarikat dengan SESB dan cita-cita bersamanya untuk menjamin masa depan tenaga mampan bagi Sabah.

“Petronas kekal komited untuk menyokong pembangunan perindustrian di Sabah dengan memastikan bekalan tenaga yang stabil dan mampan, yang akan menjadi penting dalam memacu pertumbuhan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata perjanjian berkenaan adalah kunci untuk memenuhi permintaan tenaga negeri dengan penyelesaian yang boleh dipercayai dan mampan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan