AM

JURUFOTOGRAFI RTM HIDAP JANGKITAN KUMAN TERIMA BANTUAN TABUNG KASIH@HAWANA

02/10/2024 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Jurufotografi Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mohamad Razali Shafie yang menghidap jangkitan kuman di kaki sejak Ogos lepas, menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini.

Mohamad Razali, 48, dijangkiti kuman di kaki kanan selepas mengalami luka ringan ketika bertugas bersama pasukan penggambaran program terbitan RTM di Uzbekistan, Ogos lepas.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj ketika menziarah Mohamad Razali di kediamannya, di sini hari ini.

Selain wang tunai, Mohamad Razali turut menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Syarikat Pakaian Hari-Hari dan AEON BiG.

Mohamad Razali  yang berkhidmat lebih 20 tahun di RTM ketika ditemui menzahirkan terima kasih kepada pihak pengurusan Bernama selaku pengelola Tabung Kasih@HAWANA atas sumbangan berkenaan.

Menceritakan mengenai jangkitan kuman dialaminya, Mohamad Razali berkata pada mulanya beliau mengalami luka kecil di ibu jari kaki dan kemudian melarat hingga ke betis, menyebabkan beliau sukar untuk berjalan.

“Pada awalnya hanya luka melecet akibat terlalu banyak berjalan, lama-lama melarat hingga betis. Doktor di sana (Uzbekistan) nasihatkan untuk pulang ke Malaysia kerana kemudahan perubatan mereka yang terhad.

“Sejak balik dari sana, kaki saya bengkak dan berair… saya memang tidak dapat bekerja dan kos perubatan yang perlu ditanggung sebanyak RM200 untuk bekalan ubat selama lima hari,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata Bernama sebagai pengelola tabung itu komited memastikan petugas atau veteran pengamal media yang dihimpit kesusahan dapat dibantu.

Beliau berkata sejak Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan, sebanyak 150 penerima terdiri daripada golongan veteran dan petugas media yang mengalami kesempitan hidup atau masalah kesihatan di seluruh negara menerima manfaat tabung itu.

“Tabung Kasih@HAWANA ini merupakan inisitif Bernama sempena sambutan Hari Wartawan Nasional di Perak tahun lepas dan Kementerian Komunikasi menjadikan ia sebagai inisiatif khusus untuk membantu petugas dan veteran media yang memerlukan.

“Dengan suntikan dana RM1 juta yang diumumkan kerajaan sebelum ini, kita akan meneruskan usaha untuk membantu rakan-rakan media, malah kita juga sudah mengenal pasti senarai penerima bantuan lain, yang akan kita bantu selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan