EKONOMI

SEKTOR TEKNOLOGI PERUBATAN MALAYSIA BERSEDIA CAPAI PERTUMBUHAN BERNILAI TINGGI

02/10/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Industri teknologi perubatan (medtech) Malaysia menyaksikan pertumbuhan yang mengagumkan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam landskap teknologi perubatan global, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian ini memperlihatkan golongan profesional Malaysia bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal tetapi juga didorong oleh komitmen terhadap kualiti dan pematuhan piawaian global.

“Gabungan antara bakat dan sokongan kerajaan dalam sektor peranti perubatan yang diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, telah melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan dalam inovasi teknologi perubatan.

"Dengan perkongsian strategik dan langkah proaktif, MIDA komited untuk menyokong pengembangan berterusan sektor ini dan teruja untuk melihat kemajuannya pada masa hadapan," katanya.

Sikh Shamsul berkata demikian selepas pelancaran ‘Laporan Status dan Prospek Industri Peranti Perubatan 2024/2025 AMMI: Malaysia, Kisah Kejayaan Medtech’ pada Sidang Kemuncak Industri Medtech Malaysia 2024 di Pulau Pinang hari ini.

Sementara itu, Pengerusi AMMI Andy Lee berkata Malaysia mempunyai pasaran peranti perubatan terbesar di Asia Tenggara, dengan saiz pasarannya mencecah RM10.6 bilion pada 2023 dan disenaraikan antara 10 pasaran teratas di Asia.

"Peranti perubatan ini jauh lebih canggih berbanding pembuatan tradisional, menawarkan keupayaan teguh dalam pensterilan, ujian biokompatibiliti, pembungkusan dan penilaian pematuhan," katanya.

Lee juga berkata Malaysia mempunyai kapasiti pensterilan terbesar di Asia Tenggara, menyediakan rangkaian teknologi pensterilan paling komprehensif di rantau ini, termasuk pensterilan oksida Ethylene (EtO), Gamma, dan Electron beam (E-beam).

"Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang mewujudkan kemudahan pensterilan sinar-X.

“Didorong oleh infrastrukturnya yang canggih, pematuhan kepada piawaian antarabangsa, dan sokongan kerajaan yang kukuh, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, laporan AMMI mendedahkan responden dalam tinjauan itu berkata mereka bercadang memperuntukkan RM2.7 juta untuk pengembangan, RM927 juta dalam produk baharu dan RM162 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)/pusat kecemerlangan (COE) baharu serta Industri 4.0. 

Ia turut menyatakan AMMI memperoleh RM4.1 bilion bahan mentah dan RM2.5 bilion perkhidmatan daripada pembekal tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selain itu, kontrak bernilai RM1.4 bilion disalurkan kepada pembekal tempatan, dengan 95 peratus diperuntukkan kepada produk siap,” kata laporan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan