AM

KELANTAN UCAP TERIMA KASIH SUSULAN PENGUMUMAN PM

02/10/2024 06:56 PM

KOTA BHARU, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan susulan beberapa pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan beliau sempena pengurniaan darjah kebesaran daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, di sini semalam.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri akan terus komited mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

“Kita sentiasa terbuka untuk kerjasama yang membawa manfaat kepada Kelantan tanpa mengira perbezaan politik selagi ia selaras dengan prinsip ‘Membangun Bersama Islam’ yang menjadi dasar pentadbiran negeri.

“Kerajaan Kelantan menyambut baik beberapa pengumuman oleh Perdana Menteri iaitu komitmen meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir, bekalan air bersih dan masalah bekalan air kepada pesawah,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Mohd Nassuruddin berkata beliau turut berbesar hati apabila kerajaan Persekutuan bersedia menampung kos projek Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim sebanyak RM8 juta selain menambah baik Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sebanyak RM5.5 juta.

“Semangat federalisme hendaklah sentiasa dijunjung tinggi dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan dan ia merupakan kunci kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan