AM

6,000 PENDUDUK FELDA JENDERAK UTARA BAKAL DAPAT MANFAAT TRANSAKSI TANPA TUNAI

02/10/2024 08:15 PM

TEMERLOH, 2 Okt (Bernama) -- Sebanyak 6,000 penduduk Felda Jenderak Utara bakal mendapat manfaat kemudahan transaksi pembayaran tanpa tunai yang akan menjadikan urusan perniagaan mereka lebih efisien, tahap kesejahteraan kehidupan lebih baik serta mengurangkan kebergantungan wang tunai. 

Ketua Peneroka Jenderak Utara Mohd Salim Muda berkata pelancaran program Cashless @ NADI di penempatan berkenaan hari ini yang merupakan inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memang menjadi penantian penduduk di sini untuk memacu ekonomi luar bandar.

"Boleh dikatakan mereka amat teruja dengan kemudahan terbaharu ini dan sedia mengikut peredaran zaman tanpa ada penolakan. (Lagipun), mereka tidak kekok kerana kebanyakannya memiliki telefon pintar dan anak-anak sudah mengajar transaksi pembayaran tanpa tunai. 

"Inisiatif MCMC ini juga membantu masyarakat kerana mereka tidak perlu keluar ke Kuala Krau sejauh lapan kilometer untuk mengeluarkan wang di ATM (mesin pengeluaran wang automatik) sekali gus menjimatkan masa dan perbelanjaan minyak kenderaan," katanya kepada Bernama. 

Majlis pelancaran program Cashless @ NADI Jenderak Utara itu dirasmikan oleh Pengurus Felda Jenderak Utara Mohd Faizal Fauzi di sini hari ini.

Bagi ibu kepada tiga anak, Azuraidah Abd Aziz, 34, transaksi tanpa tunai lebih selamat apabila dapat mengelakkan risiko wang dicuri atau tercicir apabila mengeluarkan wang dalam jumlah banyak daripada mesin ATM.

“Kadangkala bila kelam-kabut, ada masa kita tercicir wang tunai, jadi saya melihat kaedah tanpa tunai lebih terjamin. Lagipun, liputan telekomunikasi dan Internet di sekitar kawasan ini juga baik dan amat membantu apabila segala transaksi dapat dilakukan dengan lancar," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata pihaknya amat berbesar hati kerana sambutan masyarakat setempat terhadap program berkenaan amat menggalakkan dan berharap mereka dapat menggunakan aplikasi tanpa tunai dengan bijak.

"Program masyarakat tanpa tunai pada hari ini memberi satu momentum kepada agenda memperkasakan ekonomi komuniti setempat terutamanya pemain industri sektor peruncitan.

"Justeru, saya berharap kita dapat mengambil peluang berkongsi kek ekonomi disediakan oleh kerajaan  dan memanfaatkannya bagi kebaikan bersama," katanya.

Program Cashless @ NADI Felda Jenderak Utara ialah inisiatif berimpak tinggi yang dijalankan oleh kerajaan Persekutuan menerusi MCMC bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital negara selari dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 yang menyasarkan purata seorang individu melakukan 400 transaksi digital menjelang 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan