AM

SYARAT PROGRAM PERALIHAN LESEN KELAS B DILONGGARKAN - LOKE

02/10/2024 08:10 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Syarat Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2  kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) yang bermula semalam dilonggarkan serta-merta ekoran keluhan orang ramai yang tidak layak menyertai program itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata satu daripada syarat untuk program itu ialah individu mesti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.

Beliau berkata mengambil kira maklum balas daripada orang ramai, perkara itu dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli dan beliau bersetuju memudahkan lagi syarat tersebut.

"Syarat itu dilonggarkan serta-merta iaitu tempoh LLM hanya perlu aktif dan mencukupi 10 tahun ke atas dan tidak perlu secara 10 tahun berturut-turut (diumumkan sebelum ini)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara sebab yang dibangkitkan orang ramai adalah munasabah iaitu lesen tidak dapat diperbaharui ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Sepanjang tempoh PKP itu kerajaan memberikan pengecualian kepada keperluan memperbaharui lesen memandu bagi semua pemegang lesen. 

Bagaimanapun, syarat lain kekal dan tidak akan dikompromi termasuk pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam dan tunggakan saman.

Loke berkata kemas kini akan dilakukan agar lebih ramai pemohon berjaya dan mendapat manfaat daripada program itu.

"Kita buat pertukaran (sistem) serta-merta untuk memudahkan orang ramai. Kita mohon kesabaran orang ramai dan dalam masa beberapa hari, mereka (pemohon) boleh ambil program itu di institut memandu yang terlibat," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan