AM

PM TIBA DI ISLAMABAD UNTUK LAWATAN TIGA HARI KE PAKISTAN

03/10/2024 12:24 AM

Oleh Mohd Haikal Mohd Isa

ISLAMABAD, 2 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari ke Pakistan.

Pesawat khas yang membawa beliau selamat mendarat di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi pada 7.55 malam waktu tempatan (10.55 malam waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan Perdana Menteri di pangkalan udara itu ialah Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Menteri Perdagangan Pakistan Jamal Kamal Khan, Ketua Protokol Kementerian Luar Tipu Sultan dan Pesuruhjaya Tinggi negara itu ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan.

Anwar diberikan sambutan permaidani merah dan tembakan meriam sebanyak 21 kali selain memeriksa kawalan kehormatan oleh anggota Angkatan Bersenjata Pakistan.

Menerusi temu bual bersama media Malaysia semalam, Mohammad Azhar berkata kerajaan Pakistan telah menaik taraf lawatan tiga hari Perdana Menteri ke negara Asia Selatan itu daripada lawatan rasmi kepada lawatan negara.

Anwar mempunyai jadual padat sepanjang lawatan tiga hari beliau ke negara kuasa nuklear itu, yang juga lawatan sulung beliau ke Pakistan sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022.

Pada hari kedua lawatan beliau, Anwar dijadual mengadakan pertemuan terhad dengan Shehbaz diikuti mesyuarat dua hala membabitkan delegasi kedua-dua negara di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan itu.

Kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) serta MoU antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA). 

Anwar dan Shehbaz juga akan melancarkan terjemahan terpilih karyawan terkenal Pakistan iaitu Allama Muhammad Iqbal ke dalam Bahasa Melayu dan buku Malaysia MADANI ke dalam Bahasa Urdu.

Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) di Islamabad sebelum dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Falsafah daripada universiti berkenaan.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan meja bulat dengan tokoh industri Pakistan.

Pada sebelah malam, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Pakistan Asif Ali Zardari di Aiwan-e-Sadr iaitu kediaman rasmi pemimpin itu di mana beliau akan dianugerahkan penghormatan tertinggi negara berkenaan iaitu Nishan-e-Pakistan.

“Itu adalah suatu pengiktirafan tertinggi Kerajaan Pakistan terhadap ketokohan dan kepimpinan Perdana Menteri dalam memupuk serta meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan,” kata Mohammad Azhar.

Beliau berkata Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu dengan Ketua Staf Tentera Pakistan Jeneral Asim Munir dan tokoh-tokoh berpengaruh lain di negara itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan