Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pakistan harus dilihat sebagai pasaran yang berpotensi besar untuk pemain-pemain industri digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Malaysia memajukan kepakaran dan produk-produk inovasi mereka.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata dengan penduduk seramai 250 juta orang, Pakistan menyediakan akses luas untuk Malaysia menembusi pasaran digital dan teknologinya.
Selain itu, kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka ICT di Asia Tenggara dengan ekosistemnya yang maju memberikan Malaysia kelebihan untuk menerokai pasaran itu, sekali gus membantu mengembangkan industri itu Pakistan.
“Signifikannya ialah Pakistan merupakan satu potensi besar bagi kita mempelopori dan memasarkan pasaran teknologi melalui penggunaan tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang yang kita mahu terokai, contohnya dalam aplikasi digital, e-dagang dan infrastruktur ICT.
“Syarikat-syarikat kita dalam sektor teknologi boleh memperkenalkan inovasi yang kita ada, melalui perjanjian yang ditandatangani, supaya pasaran kita di Pakistan boleh berkembang dan bergerak lebih besar," katanya dalam program ‘Malaysia Petang Ini’ di Bernama TV pada Rabu.
Beliau berharap perjanjian Malaysia dan Pakistan sebagai Rakan Perkongsian Strategik sejak 2019, akan dimanfaatkan sepenuhnya dari segi industri digital untuk membawa hubungan diplomatik kedua-dua negara ke paradigma baharu.
Justeru beliau menjangkakan kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara dalam bidang ini akan terjalin hasil lawatan negara selama tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan, bermula semalam.
“Saya lihat ini salah satu potensi yang kita boleh buka dan lebarkan dalam kunjungan Perdana Menteri (ke Pakistan) kali ini,” katanya.
Beliau berkata potensi besar kerjasama dua hala Malaysia dan Pakistan juga meliputi pertanian pintar (smart agriculture), tenaga boleh baharu (RE), industri halal, selain menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan pertumbuhan penduduk.
Malaysia dan Pakistan memeterai perjanjian sebagai Rakan Perkongsian Strategik sejak 2019 dengan negara itu merupakan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan sejak 2016.
Kedua-dua negara juga telah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008 yang meliputi perdagangan barangan, pelaburan serta kerjasama teknikal.
Nilai dagangan antara kedua-dua negara pada 2023 berjumlah RM6.43 bilion dengan eksport Malaysia bernilai RM4.39 bilion manakala import Malaysia dari Pakistan sebanyak RM2.04 bilion.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, nilai dagangan yang dicatatkan oleh kedua-dua negara telah mencecah RM5.10 bilion.
-- BERNAMA