AM

MAIPS BERI ZAKAT RM5,000 KEPADA BEKAS AHLI GISBH, BANTU MULAKAN HIDUP BAHARU

04/10/2024 07:40 PM

KANGAR, 4 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini memberikan sumbangan zakat RM5,000 kepada seorang bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai usaha membantu lelaki berkenaan memulakan kehidupan baharu mengikut ajaran Islam sebenar.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata MAIPs melaksanakan langkah membantu bekas ahli GISBH kembali kepada kehidupan sepatutnya termasuk menyediakan peruntukan zakat bagi membebaskan mereka daripada pengaruh ajaran kumpulan itu.

“Peruntukan itu adalah sebahagian daripada keputusan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan usaha ini selaras dengan Fatwa Negeri yang mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian zakat hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Ahmad berusia 33 tahun dari Johor itu keluar dan meninggalkan GISBH pada 2021.

Pada 20 Sept lepas, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah dan ia juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Mohd Asri berkata majlis penyampaian zakat hari ini adalah manifestasi awal seperti dipersetujui MAIPs berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis untuk membantu bekas ahli GISBH kembali kepada kehidupan baik sewajarnya dalam masyarakat.

"Saudara Ahmad merupakan individu awal yang menerima bantuan MAIPs dan saya harapkan ramai lagi menyusul sama ada dari Perlis atau luar negeri ini yang keluar daripada kerangka kehidupan GISBH, yang tersasar daripada landasan Islam sebenar," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata bekas ahli GISBH dialu-alukan untuk menjalani proses memulihkan akidah masing-masing di Perlis, dan jika ramai bekas ahli itu ingin berbuat demikian, maka program pemulihan akidah akan dilaksanakan MAIPs.

“Kita akan menjemput mereka untuk sesi dialog. MAIPs sedang merancang untuk mengadakan sesi dialog bersama mereka dalam hal-hal kita fatwakan, kita beri peluang kepada mereka...kita menerima juga jika ada (bekas ahli) ajaran sesat yang lain di Malaysia ini untuk pemulihan akidah ini,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Islam agar saling membantu dan tidak menyalahkan bekas ahli GISBH sebaliknya memberikan peluang serta sokongan kepada mereka untuk berubah serta menjalani kehidupan lebih baik.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan