DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DIJANGKA DINIAGA DENGAN KECENDERUNGAN MENAIK MINGGU DEPAN

05/10/2024 10:18 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah dan minyak kacang soya, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran berkemungkinan kekal tidak menentu apabila pasaran China menyambung semula dagangan selepas berehat seminggu.

"Kami menjangkakan harga MSM akan diniagakan antara RM4,150 setan metrik dan RM4,380 setan metrik minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan harga MSM akan lebih rendah minggu depan apabila peniaga mengambil keuntungan disebabkan kenaikan harga baru-baru ini.

Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dijangka mengeluarkan laporan prestasi industri untuk September 2024 pada minggu depan, dengan penganalisis mengunjurkan peningkatan dalam stok MSM pada bulan itu.

"Walaupun harga MSM akan turun disebabkan stok meningkat, ia masih lagi menguntungkan," katanya.

Teh menambah permintaan fizikal untuk MSM adalah dari India, China, Pakistan, negara-negara Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2024 melonjak RM132 kepada RM4,159 setan metrik, November 2024 meningkat RM95 kepada RM4,096 setan metrik, manakala Disember 2024 bertambah RM104 kepada RM4,051 setan metrik.

Kontrak Januari 2025 naik RM89 kepada RM4,014 setan metrik, Februari 2025 melonjak RM72 kepada RM3,979 setan metrik dan Mac 2025 meningkat RM60 kepada RM3,945 setan metrik.

Jumlah dagangan mingguan bagaimanapun turun kepada 437,710 lot daripada 472,374 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 251,725 ​​kontrak daripada 258,379 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan melonjak RM210 kepada RM4,420 setan metrik pada Jumaat daripada RM4,210 setan metrik minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan