DUNIA

RINGGIT DIJANGKA STABIL BERBANDING DOLAR AS MINGGU DEPAN

05/10/2024 10:15 AM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Ringgit dijangka kekal pada paras 4.21 hingga 4.22 berbanding dolar AS minggu depan, tetapi dengan kecenderungan meningkat terhadap dolar AS selepas data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) bagi September meningkat mendadak kepada 254,000 pekerjaan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan dijangka meningkatkan lagi daya tarikan unit negara maju itu. 

“Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin menggunakan pendekatan yang lebih teratur untuk pelonggaran monetari,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya laporan memberangsangkan NFP yang diumumkan pada Jumaat menandakan kekukuhan pasaran buruh AS yang akan membolehkan Fed menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur.

Laporan itu turut menunjukkan kadar pengangguran AS susut kepada 4.1 peratus daripada 4.2 peratus.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata konflik Timur Tengah terus mencetuskan faktor risiko utama, dengan harga minyak mentah Brent yang meningkat.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar AS berada pada paras tinggi berikutan kenaikan harga minyak.

“Laporan pekerjaan yang mantap akan mempercepat kadar dolar AS yang lebih kukuh, selari dengan data Fed, menandakan hala tuju pelonggaran sebanyak 25 mata asas yang stabil dan mengehadkan penurunan dolar AS menjelang pilihan raya.

“Pada masa ini, kita mungkin menyaksikan ringgit didagangkan pada tahap paling kukuh untuk tahun ini,” katanya.

Ringgit memulakan urus niaga pada minggu ini dengan kukuh, mencecah paras tertinggi sejak April 2021 pada 4.09 berbanding dolar AS.

Ia muncul sebagai mata wang prestasi terbaik global berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan pada awal minggu sebelum lebih rendah, di tengah-tengah konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit susut kepada 4.2155/2240 berbanding dolar AS daripada 4.1230/1280 minggu lepas selain turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding euro, dengan mengakhiri urus niaga kepada 4.6484/6578 daripada 4.6009/6064 minggu lepas, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8779/8839 daripada 2.8804/8841 dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.5505/5617 daripada 5.5178/5245 pada minggu sebelumnya

Ringgit juga kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2489/2557 daripada 3.2146/2187, lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.35/7.37 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.75249/72747 minggu lepas.

Bagaimanapun ringgit meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 daripada 272.5/273.0 minggu lepas.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan