EKONOMI

KENANGA JANGKA OPR STABIL 3.0 PERATUS PADA 2025

05/10/2024 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menjangka Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal stabil pada 3.0 peratus sepanjang 2025.

Menurut bank itu dalam nota penyelidikan hari ini, unjurannya berdasarkan dapatan berasaskan data, menyatakan keperluan kepada menguruskan inflasi lebih tinggi daripada jangkaan, yang mungkin wujud daripada kesan limpahan subsidi bahan api bersasar dan kos input yang turun naik.

“Berkaitan dasar monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka membuat keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) tanpa dipengaruhi oleh pasaran serantau berdasarkan perbezaan tekanan inflasi dan trajektori ekonomi,” katanya.

Katanya kajian kestabilan kewangan (FSR) BNM pada separuh pertama 2024, yang menunjukkan sektor perbankan bertambah baik secara berperingkat sejak kajian sebelumnya, disokong oleh persekitaran makroekonomi yang kukuh.

Kenanga mengekalkan pendirian 'wajaran tinggi' terhadap sektor itu, menyatakan penilaian dijangka terus meningkat, disokong oleh kembalinya pelabur asing ke bank-bank di Malaysia.

“Bagi pilihan utama kami, kami melihat peluang dalam saham yang sebelum ini mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan walaupun kami terus memilih nama-nama seperti Public Bank Bhd (prestasi lebih baik (OP), harga sasaran (TP): RM5.10), Hong Leong Bank Bhd (OP, TP: RM27.40) dan RHB Bank Bhd (OP, TP: RM7.55),” katanya.

RHB Bank, khususnya, diketengahkan sebagai pilihan dividen yang menarik, menawarkan hasil kira-kira 7 peratus, dengan isu kualiti aset kini sebahagian besarnya telah diselesaikan, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan