AM

JOHOR SASAR JUMLAH TERNAKAN CECAH 200,000 EKOR PADA 2027

05/10/2024 05:13 PM

BATU PAHAT, 5 Okt (Bernama) -- Johor menyasarkan jumlah ternakan di negeri ini mencapai hingga 200,000 ekor pada 2027 setelah berjaya mencapai jumlah pengeluaran ternakan sebanyak 152,000 ekor hingga bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata sebelum ini pihaknya telah membentangkan petunjuk prestasi utama (KPI) selama lima tahun (2022-2027) kepada Menteri Besar Johor dengan sasaran 170,000 ternakan.

Beliau berkata bagaimanapun sehingga kini pengeluaran ternakan menunjukkan jumlah memberangsangkan dan sasaran KPI baharu telah buat dengan dinaikkan hingga 200,000 ekor bagi tempoh yang sama sebelum ini.

“Jumlah sasaran ternakan sebelum ini (170,000) mungkin akan tercapai pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan dan kita telah berbincang dengan Menteri Besar untuk membuat sasaran baharu.

“Bagi mencapai sasaran baharu itu, kita telah menjalankan pelbagai aktiviti dengan sokongan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pelbagai agensi termasuk daripada usahawan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Pusat Sembelihan dan Pemprosesan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan serta Penyampaian Insentif Keterjaminan Makanan (Industri Penternakan Ruminan) Negeri Johor di sini hari ini.

Perasmian berkenaan dilakukan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Zahari berkata antara langkah dilakukan pihaknya untuk mencapai sasaran ialah meminta penternak mendaftar dengan pihak JPV dan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa serta membantu keperluan penternak.

“Kerajaan negeri juga akan membantu memberikan peruntukan khusus seperti sebelum ini dengan penternak menerima bantuan baka lembu  jantan dan betina yang baik,” katanya.

Mengenai Pusat Sembelihan dan Pemprosesan PPK Sri Medan, Zahari berkata kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM850,000 untuk pembinaannya yang dijangka mampu melakukan proses penyembelihan antara lima hingga 30 lembu, kambing dan biri-biri setiap hari.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata sejak 2022 hingga September tahun ini, kerajaan Johor telah memperuntukkan RM54 juta bagi keterjaminan makanan serta meningkatkan ekonomi dan bidang pertanian dan ruminan.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan