JENAYAH & MAHKAMAH

LGM SITA 42 PALET GETAH TEBUS GUNA BERNILAI KIRA-KIRA RM200,000 DI KLANG

05/10/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyita 42 palet berisi getah tebus guna seberat 70 tan metrik berserta sitaan lain bernilai kira-kira RM200,000 dalam serbuan ke sebuah kilang getah di Klang, Selangor, Rabu lepas.

LGM dalam kenyataan hari ini memaklumkan serbuan terhadap kilang yang dipercayai beroperasi secara haram itu turut disertai Majlis Bandaraya Diraja Klang, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan pihak polis.

“Kilang ini dipercayai aktif menjalankan aktiviti penghasilan dan penjualan getah tebus guna di luar dari premis yang dilesenkan,” menurut kenyataan itu.

LGM memberitahu aktiviti terbabit melanggar Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 7 (1)(b) iaitu menjalankan apa-apa aktiviti yang dilesenkan di dalam premis selain premis yang dinyatakan dalam lesen.

Jika disabitkan kesalahan di bawah peraturan berkenaan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Pihak LGM akan terus menjalankan operasi secara besar-besaran bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah yang beroperasi khususnya kilang yang beroperasi tanpa memiliki lesen yang sah,” menurut kenyataan itu.

Orang awam dialu-alukan untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM di  https://lgm.spab.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan