AM

LAWATAN PM ANWAR KE PAKISTAN, BANGLADESH: LANGKAH STRATEGIK PERKUKUH HUBUNGAN - ISIS

06/10/2024 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini disifatkan sebagai langkah strategik untuk membina hubungan lebih rapat dan bermakna.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata potensi kerjasama adalah besar untuk masa depan kerana kedua-dua negara menjanjikan pasaran dalam sektor seperti minyak sawit, produk halal dan kewangan Islam.

“Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia dengan Pakistan ialah RM7.84 bilion, manakala Bangladesh sebanyak RM12.7 bilion - jumlah ini, jika digabungkan kurang daripada yang diperoleh Petronas dalam sebulan, tetapi jika tumpuan diberi kepada angka perdagangan, kita akan terlepas gambaran lebih besar.

“Pakistan dan Bangladesh lebih penting kepada Malaysia, daripada yang dicadangkan oleh statistik. Kedua-dua negara mempunyai potensi besar kepada Malaysia, walaupun beberapa dekad ketegangan politik dan cabaran luar telah menghalang mereka daripada mencapai potensi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua negara sedang berusaha untuk mengatasi cabaran kompleks mereka, dengan menyatakan bahawa kegagalan isu tadbir urus yang berlarutan dan penyelesaian segera selalunya tidak praktikal dan berpotensi tidak produktif.

Mohd Faiz berkata lawatan Perdana Menteri amat penting kerana Pakistan dan Bangladesh melihat beliau sebagai negarawan penting dalam arena geopolitik dan menganggap ekonomi Malaysia yang digiatkan semula sebagai model untuk aspirasi mereka.

“Kejayaan Malaysia, yang menandakan pertumbuhan luar biasa dalam sektor seperti semikonduktor, dan lonjakan dalam pelaburan langsung asing (FDI) berpusatkan digital dan dipacu teknologi, tidak disangkal lagi didorong oleh asas kukuh dan pembaharuan struktur yang berani.

“Pencapaian mengagumkan itu secara semula jadi menawarkan pandangan berharga untuk aspirasi ekonomi mereka. Selain itu, daripada ucapan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus, adalah jelas bahawa perjuangan Anwar menentang  rasuah dan nepotisme di tanah air sangat selari dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Pakistan dan Bangladesh mempunyai populasi belia yang tinggi dan dengan memanfaatkan tenaga, kreativiti dan keinginan golongan muda untuk terlibat, mereka boleh menjadi penggerak di sebalik era baharu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.

Mohd Faiz berkata walaupun rakyat Pakistan dan Bangladesh sering dilihat sebagai pekerja migran, Malaysia menjadi ‘rumah’ kepada sejumlah besar pekerja dari kedua-dua negara dengan sekitar 450,000 rakyat Bangladesh tiba di Malaysia sejak Ogos 2022.

Beliau berkata hubungan antara Malaysia dengan kedua-dua negara tidak seharusnya terhad kepada pekerja migran walaupun sudah lama bergantung kepada tenaga kerja itu, namun kini negara beralih kepada mengutamakan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi masa depan.

Menurut Mohd Faiz, Malaysia selaku peneraju global dalam kewangan Islam berpeluang berkongsi kepakaran dalam produk seperti sukuk, memandangkan Pakistan akan beralih sepenuhnya kepada model perbankan patuh Syariah menjelang 2027.

Beliau berkata di Bangladesh, lawatan Anwar memberi kesan penting kerana beliau adalah pemimpin asing pertama melawat negara itu di bawah kerajaan sementara yang diketuai Muhammad.

“Malaysia yang merupakan negara Islam pertama mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh, telah lama menjalin hubungan erat dengan Dhaka. Lawatan Anwar memperkukuhkan ikatan berkenaan, memberikan sokongan dan kerjasama ketika Bangladesh menghadapi cabaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan