AM

BELANJAWAN 2025: PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR, PELEPASAN CUKAI BANTU TINGKAT KESELAMATAN SIBER

06/10/2024 11:09 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pembangunan infrastruktur keselamatan siber yang lebih kukuh serta insentif pelepasan cukai kepada syarikat yang melabur dalam infrastruktur digital, antara aspek yang diharapkan menjadi tumpuan kerajaan pada Belanjawan 2025.

Pakar bidang itu berpendapat bahawa kerajaan perlu mengukuhkan literasi digital melalui kurikulum asas di sekolah untuk memastikan generasi muda mahir menggunakan teknologi dan memahami risiko serta ancaman dalam dunia siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata cabaran terbesar yang dihadapi dalam bidang tersebut ketika ini ialah peningkatan serangan siber yang lebih canggih, kekurangan tenaga pakar tempatan dan tahap kesedaran pengguna yang masih rendah mengenai ancaman siber.

“Oleh itu, antara perkara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan ialah penyelidikan dan pembangunan teknologi keselamatan siber yang dibangunkan secara tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber serantau yang lebih berdaya saing,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata langkah mempertimbangkan pelepasan cukai kepada syarikat yang melabur dalam infrastuktur keselamatan siber juga dapat merancakkan usaha pemerkasaan teknologi di sektor korporat, terutamanya bagi sektor kritikal seperti perbankan, penjagaan kesihatan dan tenaga yang sering menjadi sasaran utama serangan siber.

Selain itu, Siraj mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan lebih banyak geran dan insentif kepada syarikat tempatan yang membangunkan perisian dan teknologi keselamatan siber, yang diyakini dapat meningkatkan daya saing keselamatan siber negara dan membuka ruang kepada syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Agensi seperti CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu diperkasakan dengan peruntukan tambahan untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti siber yang mencurigakan, serta mempercepatkan tindak balas terhadap insiden di platform dalam talian, katanya.

Siraj juga berpendapat bahawa satu platform nasional perlu diwujudkan untuk advokasi dan kesedaran dalam talian, berfungsi sebagai medium perkongsian maklumat mengenai ancaman siber dan perkembangan undang-undang seperti Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr. Muhamad Khairulnizam Zaini turut bersetuju bahawa kerajaan perlu memberikan insentif pelepasan cukai dalam pelaburan infrastruktur keselamatan siber supaya syarikat perniagaan lebih serius dalam aspek tersebut.

"Ini akan membantu mereka melihat pelaburan dalam keselamatan siber sebagai aset penting, bukan sebagai kos tambahan. Sekiranya banyak syarikat melabur dalam keselamatan siber, ia akan mengurangkan risiko serangan terhadap infrastruktur dan ekonomi digital, seterusnya menjadikan ekosistem perniagaan digital lebih kuat, selamat, dan berdaya tahan,” katanya

Beliau berkata Belanjawan 2025 juga perlu meningkatkan latihan dan kepakaran penguat kuasa undang-undang serta pegawai keselamatan siber secara lebih cekap dan efektif dalam menangani kes berkaitan jenayah siber, seiring pelaksanaan Akta 854.

Ini termasuk mempertimbangkan pembelian peralatan serta teknologi terkini dan canggih bagi meningkatkan keupayaan pihak berkuasa dalam memantau, mengesan dan mengawal aktiviti siber berbahaya.

Pensyarah Kanan dan Penyelidik Keselamatan Siber Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Zubaile Abdullah pula berkata kerajaan perlu menggubal rangka kerja keselamatan siber kebangsaan yang komprehensif serta menyeluruh melibatkan kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta dan ahli akdemik.

“Kerajaan juga disaran menyediakan dana untuk latihan dan pembangunan profesional dalam bidang keselamatan siber menerusi biasiswa dan insentif untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Belanjawan 2025 perlu menyediakan peruntukan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan sistem keselamatan siber termasuk pemberian subsidi atau insentif pelaburan dalam teknologi berkaitan bagi melindungi data daripada ancaman.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyarankan agar pakej khusus diwujudkan bagi membantu penglibatan PKS dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) selain turut mewujudkan geran atau pemudah cara untuk masyarakat mendalami teknologi itu. 

Beliau berkata penerapan nilai-nilai kenegaraan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dalam penggunaan AI juga wajar diberi perhatian supaya teknologi itu tidak menjejaskan kualiti dan pemikiran masyarakat terhadap kepentingan menjaga keselamatan dan identiti negara.

Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) dijadual berlangsung pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan