AM

JANA PENDAPATAN SAMPINGAN HASIL TANAM POKOK PUDING

06/10/2024 01:37 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KUALA KRAI, 6 Okt (Bernama) -- Tidak pernah terlintas di benak fikiran Mohd Khairi Mustafa apabila hobinya menanam pokok puding sejak empat tahun lepas mampu menjana pendapatan serta mendapat sambutan baik. 

Anak jati Kampung Kuala Nal berusia 35 tahun itu pada mulanya menanam 10 jenis pokok puding yang diperoleh di sekitar kampung namun dek terlalu minat dia kini mempunyai lebih 50 jenis seperti mega mendung, karipap kuning, delima, kaki itik dan lemak ketam.

"Saya tanam pokok puding ini sebab minat dengan keunikan yang dimilikinya kerana ia bukan pokok yang menghasilkan bunga tetapi mempunyai tarikan pada daunnya dengan pelbagai bentuk, corak, warna dan paling menarik nama gelaran untuk setiap pokok itu yang dipanggil orang kampung.

"Selain itu, pokok puding ini sangat mudah dijaga, tidak rumit dan tahan lasak kerana boleh bertahan di bawah cahaya matahari terik untuk menghasilkan warna atau corak yang lebih menarik pada daunnya," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya dekat Kampung Kuala Nal di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Mohd Khairi berkata modal yang diperlukan untuk menjaga pokok puding tidak terlalu besar kerana ia 'tidak manja' malah hanya perlu dibaja dua minggu sekali.

"Saya sebenarnya tidak sangka di negara kita ini memiliki banyak jenis pokok puding mungkin kerana faktor cuaca yang sesuai ia dapat mempengaruhi kesuburan tanaman ini.

"Harga yang saya letak bergantung kepada jenis serta saiz pokok puding iaitu antara RM10 hingga RM50 dan dijual untuk pasaran tempatan di Semenanjung sahaja," katanya yang mempunyai ramai pelanggan dari Johor dan Terengganu.

Beliau berkata pokok puding ini mudah dikenali kerana memiliki pelbagai jenis bentuk daun seperti keriting, berpilin, bujur, lebar dan halus memanjang selain memiliki warna mengikut spesies pada daunnya seperti kuning, oren, merah dan hijau.

"Pokok puding ini amat sesuai ditanam di kawasan halaman rumah dan mudah dibiakkan melalui keratan batang untuk menghasilkan anak pokok yang serupa dengan induknya berbanding menggunakan biji benih," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan