AM

LEBIH 100,000 SUKARELAWAN TURUN PADANG BERSIHKAN MALAYSIA

06/10/2024 04:58 PM

KANGAR, 6 Okt (Bernama) -- Seramai 108,456 sukarelawan di seluruh negara turun padang bersihkan Malaysia menerusi program World Cleanup Day 2024 yang bermula  21 hingga 29 Sept lepas dan penyertaan hari ini melepasi sasaran iaitu 40,000 sukarelawan. 

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sukarelawan itu terdiri individu dan agensi yang melibatkan pelaksanaan di 1,280 lokasi oleh 461 agensi dengan kutipan keseluruhan sebanyak 7,882 tan sisa dan 49,968 puntung rokok.

"Bertemakan 'We Clean The World' sambutan program pada tahun ini melibatkan pelbagai aktiviti antaranya pelaksanaan pembersihan kawasan dan audit sisa serta Kayuhan World Cleanup Day bersama Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail).

"Penganjuran pertandingan kategori turut diadakan antaranya agensi terbaik, penyertaan sukarelawan paling ramai dan kutipan sisa tertinggi dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM27,000," menurut kenyataan itu sempena perasmian program peringkat kebangsaan di Dataran Kurong Tengar, Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Tuanku Syed Faizuddin Putra. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Wira M Noor Azman Taib.

Menurut kenyataan itu, audit sisa ialah komponen penting diambil kira dalam pelaksanaan program berkenaan iaitu melibatkan pengasingan sisa yang dikutip mengikut kategori bagi mengenal pasti trend dan jenis sisa paling banyak dibuang.

KPKT turut menggerakkan agensi kerajaan di seluruh negara melalui Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega Seluruh Negara yang dilaksanakan pada 28 Sept di Kuala Lumpur.

"Program ini dilaksanakan secara serentak di 153 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara dari 8 pagi hingga 8 malam.

"KPKT berjaya memperoleh tiga pengiktirafan 'Malaysia Book Of Records' bagi kategori penyertaan paling ramai dan serentak seluruh negara iaitu melebihi 50,000 peserta, kutipan sisa pepejal paling berat iaitu 3,000 tan metrik dan tempoh gotong-royong paling lama yakni 12 jam," menurut kenyataan itu.

SWCorp berharap program itu dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kebersihan dan membudayakan amalan kitar semula.

"Ini kerana pengurusan sisa pepejal bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi melibatkan peranan semua pihak termasuk masyarakat," menurut kenyataan itu.

Sukarelawan program itu, Rosnani Nazri yang juga Koordinator Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia) Perlis berkata GRASS Malaysia Perlis sememangnya menjalinkan kerjasama strategik dengan SWCorp dan E-Idaman sejak 2019 dalam membuat pembersihan di Perlis terutama bagi kawasan persisiran pantai di sekitar Kuala Perlis.

"Kawasan persisiran pantai di Kuala Perlis ini kritikal sebab banyak sampah hanyut dari laut dan sentiasa ada sampah seperti minggu lepas kita pun memang ada buat pembersihan di Pulau Ketam (di Kuala Perlis).

"Kita telah mengumpul lebih kurang 600 kilogram sampah plastik sahaja sempena program World Cleanup Day," kata Rosnani yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan di UiTM Cawangan Perlis.

Pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau Muhammad Hakim Husaidi, 18, pula berkata beliau teruja dapat menyertai program itu hari ini apabila dapat mengetahui jenis sisa menerusi aktiviti pembersihan di persisiran pantai itu. 

"Saya berasakan ini seperti kerja amal, seronok dapat tahu jenis sampah dan dapat merasai sendiri pengalaman mengutip sampah seperti pekerja SWCorp buat. Program ini juga dapat memberikan imej baik kepada Perlis," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan