AM

PENDUDUK TIGA KAMPUNG DI SIK NIKMATI BEKALAN AIR BERSIH SEJAK SEBULAN LEPAS

07/10/2024 11:11 AM

SIK, 5 Okt (Bernama) -- Kira-kira 550 penduduk dari tiga kampung di sini menarik nafas lega selepas menerima bekalan air bersih dari telaga tiub yang dibina hasil inisiatif Yayasan Ikhlas di bawah Projek Pembangunan Sistem Air Bersih, sejak sebulan lepas.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata projek ketiga pembangunan sistem air bersih di daerah berkenaan memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Bukit Batu, Kampung Bukit Berangan dan Kampung Kubang.

“Projek ini menelan belanja RM500,000 dan dibiayai Lembaga Tabung Haji. Ia meliputi pembinaan telaga tiub sedalam 64 meter bagi menyedut sumber air bawah tanah, menara tangki untuk menyimpan air yang ditapis, serta sistem paip baharu bagi menyalurkan air bersih terus ke 150 buah rumah penduduk.

“Projek kali ini membabitkan kos yang paling besar berbanding dua projek sebelumnya di daerah ini selepas Kampung Tanah Hitam dan Kampung Jelutong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Pembangunan Sistem Air Bersih di Kampung Bukit Batu dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, Zainur Rashid berkata Yayasan Ikhlas turut mengenal pasti beberapa kampung lain yang menghadapi masalah bekalan air bersih untuk pelaksanaan projek sama pada masa akan datang.

“Sasaran kami untuk melaksanakan lima projek di Kedah setiap tahun bagi membantu penduduk yang berdepan masalah bekalan air bersih. Projek berikutnya akan dilaksanakan di Kampung Charok Putih, Baling dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata sejak 2022, Yayasan Ikhlas berjaya melaksanakan 10 projek sama di seluruh negara iaitu masing-masing tiga di Sabah, Sarawak dan Kedah, manakala satu di Pahang.

Sementara itu, penduduk Kampung Kubang, Md Sabri Hamid, 53, berkata sejak sekian lama kawasan kampung berkenaan tidak menerima bekalan air bersih dan hanya bergantung kepada bekalan air komuniti.

“Ini merupakan kali pertama penduduk mendapat bekalan air bersih. Ada bekalan air dari Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun kawasan berbukit menyebabkan tekanan tidak cukup kuat untuk menyalurkan bekalan air bersih ke rumah penduduk di tiga kampung di sini.

“Jadi, bila Yayasan Ikhlas datang untuk bantu sediakan air bersih, orang kampung amat bersyukur. Sebab itu semua orang memberi komitmen penuh dan projek yang sepatutnya siap dalam tempoh sembilan bulan dapat siap lebih awal, tujuh bulan,” katanya.

Bagi penduduk Kampung Bukit Berangan, Mahfuz Ahmad, 40, pula beliau bersyukur apabila bekalan air bersih sampai terus ke rumah penduduk sejak sebulan lepas.

“Sebelum ini, bekalan air masyarakat (komuniti) yang diperoleh dari kaki Bukit Batu, kira-kira satu kilometer dari rumah penduduk akan keruh jika hujan. Ramai penduduk akan menadah air sebagai simpanan, tapi sekarang masalah itu sudah selesai,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan