DUNIA

PEMIMPIN ASEAN RAPATKAN HUBUNGAN DI LANGIT MENUJU LAOS

07/10/2024 12:06 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Jarang sekali kita melihat menteri kewangan dan menteri hal ehwal luar dari pelbagai negara berkongsi penerbangan yang sama, namun Sidang Kemuncak ASEAN di Laos minggu ini membawa keunikan tersendiri dalam diplomasi serantau.

Kekurangan penerbangan terus dari kebanyakan ibu negara ASEAN ke negara itu menyebabkan pertemuan tidak disangka antara pegawai-pegawai tinggi serantau dalam satu penerbangan yang sama menuju ke Vientiane.

Dalam satu hantaran Instagram yang bersahaja pada malam Ahad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyoroti semangat muhibah dalam kalangan pemimpin serantau dengan gurauan dalam bahasa Melayu: "Semua dah ada dalam kapal terbang, kita mesyuarat sini je lah! Tak payah nak pergi Laos.”

Foto yang mengiringi hantaran itu memaparkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, yang bersama-sama merakamkan detik penuh muhibah dalam suasana tidak dijangka.

Walaupun foto menteri-menteri yang tertawa dan berbual mesra di udara memperlihatkan semangat perpaduan ASEAN, ia juga secara halus menekankan isu yang lebih serius — kekurangan hubungan antara negara di rantau ini.

Hakikat bahawa ramai pegawai tinggi dan juga wakil media terpaksa berkongsi penerbangan yang sama ke Laos menekankan keperluan untuk memperkukuh rangkaian pengangkutan dan infrastruktur serantau.

Komen bersahaja Tengku Zafrul menggariskan realiti yang perlu diatasi oleh ASEAN, iaitu kekurangan laluan penerbangan terus ke beberapa negara anggotanya.

Ketika rantau ini berusaha ke arah perpaduan dan integrasi yang lebih erat, jaringan rangkaian fizikal tetap menjadi aspek kritikal yang perlu dibangunkan.

Perjalanan ini juga menjadi metafora kepada misi ASEAN yang lebih luas: walaupun terdapat jurang tertentu, negara-negara anggota menuju ke arah matlamat yang sama, berusaha mengatasi cabaran bersama demi mencapai destinasi mereka.

Jaringan rangkaian yang lebih baik, terutamanya ke negara seperti Laos bukan sahaja akan memudahkan pertukaran diplomatik tetapi juga merangsang sektor pelancongan, perdagangan, dan pertumbuhan ekonomi.

Peningkatan jaringan ini akan menjadikan negara seperti Laos lebih mudah diakses dan menarik kepada rakyat ASEAN serta komuniti global, sekali gus membuka potensinya sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan.

Dengan keindahan semula jadi yang menakjubkan dan warisan budaya yang kaya, Laos mempunyai banyak tarikan, namun bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ini, jaringan udara yang lebih baik adalah penting.

Tengku Zafrul dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan kini tiba di Vientiane bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada 7:45 malam waktu tempatan (8:45 malam waktu Malaysia), menyertai kira-kira 2,000 delegasi lain untuk menghadiri siri mesyuarat peringkat tinggi di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di ibu negara Laos dari 8 hingga 11 Okt.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) akan memulakan sidang kemuncak pada Selasa (8 Okt), diikuti majlis pembukaan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada 9 Okt.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sidang kemuncak berkenaan.

Apabila sidang kemuncak melabuhkan tirainya pada 11 Okt, Laos akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

Dalam persediaan Malaysia untuk memimpin ASEAN ke fasa seterusnya, terdapat harapan agar Kuala Lumpur memberi keutamaan kepada usaha menangani cabaran keterhubungan dan membuka peluang baharu untuk integrasi dan kerjasama serantau yang lebih baik.

Menerusi laluan penerbangan baharu, peningkatan infrastruktur, atau kerjasama yang lebih mendalam, Malaysia selaku pengerusi berpotensi membuka jalan untuk ASEAN yang lebih terhubung dan padu, yang bukan sahaja berkongsi langit yang sama tetapi juga merangka laluan bersama ke arah pertumbuhan mampan dan perpaduan serantau.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan