AM

KEPENGERUSIAN ASEAN: MALAYSIA SEDIA MEMIMPIN KE ARAH PERPADUAN, KETERANGKUMAN DAN KERJASAMA

07/10/2024 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk menerajui dengan visi perpaduan, keterangkuman dan kerjasama sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau optimis bahawa ASEAN mampu mengatasi cabaran seperti perpecahan geopolitik terkini yang mengancam kestabilan rantau ini melalui kepimpinan bersama dan dasar neutral yang kukuh.

"Dan kita mungkin akan melangkaui ASEAN, ketika kita meneroka kerjasama dengan BRICS (sebuah kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) yang akan memperdalam hubungan Selatan-Selatan di peringkat global.

"Kami mengulangi kepentingan utama untuk mematuhi peraturan berasaskan norma, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa, tetapi kami menolak hipokrasi dan dwistandard yang diperhatikan oleh sesetengah pihak apabila ia menguntungkan mereka," kata perdana menteri dalam ucapan pembukaannya di Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Malaysia secara rasmi akan mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN daripada Laos pada 11 Okt.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri juga menekankan keperluan bagi dunia untuk mempunyai seni bina kewangan baharu, yang berasaskan prinsip keadilan, permainan yang adil dan keadilan.

"Ketika kita mengharungi zaman yang penuh dengan ketidaktentuan dan pencanggahan ini, marilah kita melakukannya dengan keberanian, keyakinan, dan komitmen kepada kebaikan yang lebih besar," katanya.

Forum selama dua hari ini, yang bertemakan 'Pursuit of Potatoes – Paving Paths from the Probable to the Possible', menghimpunkan pakar dan kumpulan pemikir untuk membincangkan tren global serta menangani isu kritikal semasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan