JENAYAH & MAHKAMAH

KES BUNUH NUR FARAH KARTINI: 10 DIS UNTUK SERAHAN LAPORAN KIMIA, BEDAH SIASAT

07/10/2024 01:12 PM

HULU SELANGOR, 7 Okt (Bernama) -- Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat berhubung kes Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah pada Julai lepas. 

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua laporan itu masih belum siap. 

“Laporan kimia dan bedah siasat masih belum siap dan saya memohon satu tarikh untuk sebutan semula kes,” kata Eirene Nabila.

Peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili Muhammad Alif tidak membantah permohonan itu, namun memohon satu tarikh sebutan yang lebih lama.

Prosiding hari ini turut dihadiri tiga peguam pemerhati bagi pihak keluarga Nur Farah Kartini iaitu Goh Chee Kian, Mohd Norazihan Adnan dan Luqman Hakim Azhar.

Ibu dan beberapa ahli keluarga Nur Farah Kartini turut hadir pada prosiding kes itu.

Pada 26 Julai lepas, anggota polis yang bertugas di Perak itu didakwa membunuh Nur Farah Kartini, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam antara 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai sebelum mayatnya dijumpai di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini, kira-kira pukul 6 petang lima hari kemudian.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan