AM

PENYERTAAN SARAWAK METRO DI INNOTRANS 2024 LAKAR PENCAPAIAN PENTING 

07/10/2024 02:50 PM

KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Penyertaan Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) di pameran InnoTrans 2024 di Berlin baru-baru ini membuka ruang untuk mengadakan konsultasi dengan pengendali perkhidmatan awam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mazli Mustaffa dalam satu kenyataan hari ini berkata penyertaan Sarawak Metro di pameran perdagangan terbesar dunia yang memberikan tumpuan kepada industri pengangkutan rel itu satu pencapaian signifikan bagi organisasi berkenaan. 

Penyertaan itu atas pelawaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia MATRADE), sebagai sebahagian delegasi perdagangan MATRADE bagi pameran di bawah 'Astaka Malaysia' atau Pavilion Malaysia.

"Penyertaan dalam acara berprestij ini satu kebanggaan bagi kami terutamanya sebagai sebuah syarikat yang berpangkalan di Sarawak memandangkan acara setiap dua tahun ini menghimpunkan pemain utama industri dari seluruh dunia.

"Kesempatan berharga yang diberikan MATRADE dan Malaysia Rail Industry Corporation (MARIC) itu bukan sahaja memberikan kami peluang berkongsi kisah transformasi pengangkutan awam Sarawak malah turut mencipta peluang lain," katanya.

Menurut kenyataan itu, ini kali pertama MATRADE menganjurkan acara seumpama bagi industri pengangkutan rel Malaysia di InnoTrans dan usaha berkenaan terhasil melalui kerjasama MARIC yang turut dianggotai Sarawak Metro. 

Antara pencapaian penting InnoTrans tahun ini yang berlangsung pada 24 hingga 27 Sept termasuk penyertaan 2,940 pempamer dari 59 negara yang menyaksikan rekod pengunjung tertinggi iaitu sekitar 170,000 dari 133 negara.

Secara keseluruhan terdapat 42 dewan pameran yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan termasuk 11 bas. 

Acara tahun ini juga menyaksikan 226 produk atau inovasi baharu yang kali pertama diketengahkan di peringkat dunia dan majlis pembukaan rasmi InnoTrans 2024 dihadiri lebih 1,200 tetamu dari seluruh dunia.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan