AM

MUHAMMAD NASRULLAH BUKTIKAN BIDANG KEMAHIRAN MAMPU 'TERBANG JAUH'

07/10/2024 03:23 PM

BACHOK, 7 Okt (Bernama) -- Hanya bekerja sebagai tukang rumah bersama bapanya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), siapa sangka anak jati Kampung Berdang di Jeli, Muhammad Nasrullah Mamat Suki, 22, berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Anak kelima daripada enam beradik ini mengorak langkah manis itu selepas meraih pingat perak dalam pertandingan Worldskills Asean Singapore 2023 ketika melanjutkan pengajian dalam bidang elektrikal di GiatMARA Jeli.

Muhammad Nasrullah berkata kejayaan yang dicipta itu adalah permulaan dalam karier hidupnya untuk terus berusaha mempelajari pelbagai ilmu selain ingin membuktikan kepada masyarakat terutama generasi muda bahawa bidang kemahiran mampu 'terbang jauh' dan mengubah nasib diri serta keluarga.

"Memandangkan keputusan SPM saya tidaklah begitu cemerlang, saya tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, jadi saya ambil keputusan untuk bantu ayah Mamat Suki Yaacob, 53, jadi tukang rumah.

"Selepas dua tahun, kawan ajak masuk GiatMARA untuk belajar kemahiran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi GiatMARA ke-37 Zon Timur (Kelantan dan Terengganu) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Nasrullah antara 525 graduan menamatkan pengajian di GiatMARA dengan skrol sijil disampaikan Ahli Lembaga Pengarah GiatMARA Che Rahim Daud.

Muhammad Nasrullah yang berhasrat menjadi tenaga pengajar di GiatMARA berkata sikap ingin mencuba sesuatu yang baharu menjadi pembakar semangat kepada dirinya untuk terus menimba ilmu walaupun pada awalnya tidak yakin dengan kemampuan sendiri sama ada bidang yang diceburi itu benar-benar memberi manfaat atau sebaliknya.

"Ternyata berkat kesabaran dan kesungguhan saya membuahkan hasil dan ketika ini saya melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya di GiatMARA Kota Bharu dalam bidang pendawaian elektrik pula," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan