AM

HOSPITAL USM PERTAMA DI PANTAI TIMUR MILIKI MESIN KESAN BARAH PAYUDARA INVENIA ABUS 2.0

07/10/2024 07:40 PM

KOTA BHARU, 7 Okt (Bernama) -- Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang memiliki mesin Automated Breast Ultrasound (Invenia ABUS 2.0) bernilai RM2 juta untuk pemeriksaan awal mengesan kanser payudara.

Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata peruntukan itu termasuk sebuah bas untuk dijadikan klinik bergerak bagi saringan kanser payudara yang disalurkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau berkata mesin yang menggunakan teknologi terkini itu dapat meningkatkan ketepatan pengesanan kanser nombor satu dalam kalangan wanita. 

"Mesin tersebut mula digunakan di hospital ini sejak Jun lepas dan ia dapat meningkatkan pengesanan kanser payudara sebanyak 35.7 peratus berbanding kaedah mamografi yang banyak digunakan di kebanyakan hospital. 

"Malah, kaedah ultrasonografi 3D yang digunakan oleh mesin ini juga menggunakan radiasi non-ionizing, menjadikannya selamat untuk digunakan pada ibu mengandung. Pemeriksaan yang dijalankan adalah lebih cepat, selesa, dan tidak menyakitkan berbanding kaedah mamografi," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mesin Invenia ABUS 2.0 dan Pelancaran Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink Oktober) 2024 peringkat Hospital USM Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata seramai 100 pesakit kanser payudara mendapatkan rawatan di hospital berkenaan hampir setiap tahun dengan 40 peratus daripada mereka dikesan sudah berada di tahap tiga dan empat. 

Katanya pengesanan awal dan rawatan yang berkesan amat penting bagi menyelamatkan nyawa serta mengurangkan morbiditi penyakit ini dalam kalangan penghidap kanser payudara.

"Dari segi kos, sekiranya mereka mempunyai surat jaminan kerajaan ia akan diberikan secara percuma dan jika sebaliknya akan dikenakan kos tertentu namun ia lebih murah berbanding di hospital swasta," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan