AM

LEBIH 500,000 PELAJAR, 1.94 JUTA TENAGA PEKERJA TERLIBAT PENYELARASAN CUTI DI JOHOR

07/10/2024 07:08 PM

JOHOR BAHRU, 7 Okt (Bernama) -- Penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 di Johor, akan melibatkan kesemua penduduk Johor terutama 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata justeru itu, perbincangan mengenai penyelarasan perubahan cuti berkenaan akan menitikberatkan dan meliputi seluruh aspek, termasuk tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari bagi umat Islam.

“Kerajaan negeri bersama Mufti Negeri Johor dan agensi terlibat akan memperincikan waktu kerja yang sesuai, terutamanya pada Jumaat bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata penyelarasan cuti berkenaan juga, akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta, sekali gus memberi ruang kepada keluarga meluangkan masa serta memudahkan aktiviti rentas sempadan dan perniagaan di negeri itu.

Beliau pada masa sama menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan dan merestui penukaran cuti hujung minggu itu, serta Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menitahkannya dan Mufti Negeri Johor agar mengadakan perbincangan dan meneliti penyelarasannya dari setiap sudut dan aspek.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail dilapor bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).

Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse dalam kenyataan hari ini berkata penyelarasan itu akan memperkasa kerjasama perniagaan dan meningkatkan daya saing syarikat-syarikat di Johor.

Beliau berkata ia turut memudahkan urusan perniagaan syarikat dengan pihak luar, di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Saya cukup yakin bahawa dengan pelaksanaan ini, pertumbuhan ekonomi akan terus meningkat dan dipacu lebih pesat, serta langkah tepat untuk memastikan Johor terus maju dan seiring dengan negeri lain di Malaysia dan persada antarabangsa,” katanya yang turut berharap agar kerajaan negeri mengumumkan 1 Jan depan sebagai cuti umum, bagi memudahkan urusan perniagaan dan sosial susulan penyelarasan itu.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta Nur Azura Md Amin, 38, berkata perancangan percutian bersama tiga anaknya yang masing-masing telah bersekolah akan lebih mudah diatur, selepas penyelarasan itu dibuat.

“Anak-anak cuti hujung minggu setiap Jumaat dan Sabtu, jadi hendak bawa mereka jalan-jalan susah sedikit sebab saya dan suami cuti pada Sabtu dan Ahad.

“Penyelarasan ini sangat bagus untuk keluarga, bukan itu sahaja untuk hantar anak buat pemeriksaan kesihatan di hospital juga senang dan kami semua akan lebih banyak masa bersama,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi pekerja swasta Mohamad Faizal Hashim, 35, turut menyambut baik langkah pelarasan cuti itu yang telah lama dinantikannya bersama isteri.

“Cuti hujung minggu saya dan isteri berbeza, jadi untuk merancang balik ke kampung bersama-sama ke Pahang pada hujung minggu agak sukar, jadi lepas ini lebih senang dan lancar urusan kami untuk pulang ke kampung atau pergi bercuti,” katanya.

Pada 1 Jan 2014, pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan