DUNIA

BLOK KEWANGAN BRICS ADAKAN MESYUARAT AKHIR PADA 11 OKT - KEMENTERIAN KEWANGAN RUSIA

07/10/2024 06:18 PM

MOSCOW, 7 Okt (Bernama-Sputnik) -- Wakil negara anggota BRICS akan mengadakan mesyuarat menteri kewangan dan gabenor bank pusat blok itu pada 11 Oktober untuk memuktamadkan hasil kerja mereka pada 2024, menurut Kementerian Kewangan Rusia pada Isnin, lapor Sputnik.

"Pada 11 Oktober di Moscow, sebagai sebahagian daripada pengerusian Persekutuan Rusia dalam BRICS, mesyuarat akhir menteri kewangan dan gabenor bank pusat BRICS, termasuk wakil dari negara anggota baharu BRICS, akan berlangsung. Mesyuarat itu akan didahului dengan seminar peringkat tinggi mengenai topik penambahbaikan sistem monetari dan kewangan antarabangsa pada 10 Oktober," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan Rusia Anton Siluanov akan melaporkan hasil kerja Rusia sebagai pengerusi landasan kewangan BRICS dan akan membentangkan laporan mengenai penambahbaikan sistem monetari dan kewangan antarabangsa yang disediakan dengan penyertaan syarikat perunding Yakov and Partners.

Mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem monetari dan kewangan antarabangsa, prospek ekonomi global, ekonomi negara-negara BRICS, dan kerjasama kastam dan cukai.

Agenda itu juga termasuk pelancaran rangkaian penyelidikan BRICS mengenai kewangan, instrumen untuk pembiayaan campuran projek infrastruktur, menambah baik Pengaturan Rizab Kontinjen BRICS, dan mengeluarkan satu lagi buletin ekonomi mengenai keadaan ekonomi BRICS dalam konteks kadar faedah yang lebih tinggi.

Topik lain yang akan dibincangkan termasuk kerjasama dalam pembayaran, pembiayaan perubahan iklim, keselamatan siber dalam sektor kewangan dan teknologi kewangan.

-- BERNAMA-SPUTNIK

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan