AM

MALAYSIA AKAN SUARAKAN PANDANGAN TANPA GENTAR MESKIPUN BERDEPAN KUASA BESAR DALAM BRICS

07/10/2024 08:57 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah and Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus lantang menyuarakan pandangannya mengenai isu global tanpa rasa gentar atau pilih kasih sekiranya dan apabila ia menyertai blok ekonomi BRICS yang ahli pengasasnya termasuk Rusia dan China.

Beliau menegaskan Malaysia akan kekal bebas sebagai sebuah negara berdaulat dan akan terus berani bersuara untuk mengkritik malah Rusia dan China serta negara-negara utama lain walaupun kedua-dua kuasa besar itu berada dalam kumpulan tersebut.

Anwar berkata Malaysia sentiasa aktif menyuarakan kebimbangannya mengenai isu geopolitik global termasuk pencerobohan di Ukraine oleh Rusia.

"Saya telah menyuarakannya secara terbuka mengenai pencerobohan di Ukraine, saya telah membincangkan (isu ini) dengan pemimpin China dan mereka mendengarnya dan menyediakan (kepada kami) saluran (untuk menyuarakan pandangan kami)," kata beliau.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berpihak kepada mana-mana pihak dalam ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau berkata China adalah jiran penting negara dan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

"Saya (juga) memuji Amerika dalam beberapa isu," katanya menerusi satu temu bual bersama wartawan Mehdi Hasan di laman web berita Zeteo baru-baru ini.

Malaysia mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS kepada pengerusi semasanya, Rusia, pada Julai lepas.

Organisasi antara kerajaan itu pada asalnya terdiri daripada ahli pengasasnya Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, sebelum berkembang merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menafikan bahawa Malaysia perlu mengambil pendekatan seimbang kerana ia telah memohon keahlian menyertai BRICS dan dalam masa yang sama mahu menjaga hati AS.

Beliau berkata apa yang lebih penting bagi Malaysia adalah untuk menyatakan "apa yang betul dan baik untuk negara".

Anwar berada di Vladivostok, Rusia baru-baru ini dan telah melawat China beberapa kali selepas memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022.

Semasa temu bual itu, Perdana Menteri juga menekankan bahawa keutamaan beliau adalah untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN dan jirannya.

“ASEAN adalah keutamaan kami, kami ada India, kami ada China, kami ada Australia, kami ada dasar luar yang jelas,” kata beliau.

Sementara itu ditanya mengenai ekonomi Malaysia, Anwar berkata ekonomi negara disokong oleh suasana serantau dan antarabangsa yang kondusif, tadbir urus dan dasar yang jelas serta pelaksanaan dasar yang berkesan untuk mudah menjalankan perniagaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan