AM

SADAQA HOUSE KOMITED BANTU KANAK-ANAK TERPINGGIR, LANCAR RESTORAN SUP KAWAH HITAM

07/10/2024 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Restoran Sup Kawah Hitam yang dilancarkan hari ini bukan sahaja dapat membantu menampung inisiatif pendidikan percuma yang dijalankan oleh Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) bahkan memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Restoran yang akan diusahakan BJCK itu dibuka bagi menambah pendapatan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam meneruskan inisiatif pendidikan percuma untuk kanak-kanak terpinggir dengan bantuan daripada Sadaqa House Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata Sadaqa House terus komited membantu kanak-kanak yang terpinggir untuk mendapatkan akses pendidikan selain  menjangkakan lebih 100 kanak-kanak, warga BJCK dan komuniti setempat akan menerima manfaat menerusi pembukaan restoran itu.

“Restoran Sup Kawah Hitam bukan sekadar tempat menjamu selera tetapi juga membuka peluang pekerjaan bagi komuniti setempat sekali gus mencerminkan komitmen Sadaqa House untuk memperkasakan masyarakat demi masa depan yang lebih baik.

“Pelancaran restoran ini diharapkan dapat memastikan pusat pembelajaran BJCK terus beroperasi dan memberikan manfaat kepada anak-anak yang terpinggir di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Restoran Sup Kawah Hitam di sini hari ini.

Sejak 2019, BJCK telah menerima dana sosial melebihi RM600,000 daripada Sadaqa House.

Mohd Muazzam berkata Sadaqa House juga mempertingkatkan sokongan kepada BJCK dengan membiayai sewa bangunan berjumlah RM150,000 setahun.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BJCK Amin Khalili berkata pembukaan restoran itu adalah langkah positif dalam membantu memperkasa komuniti setempat.

“Kami melihat restoran ini sebagai langkah positif untuk membantu komuniti di Lorong Haji Taib yang sering dikaitkan dengan stigma yang pelbagai. Melalui restoran ini, kami bukan sahaja menyediakan makanan pada harga yang berpatutan tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Kami berharap perniagaan ini dapat berkembang maju seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta pelajar yang telah tamat pengajian di sini,” katanya. 

Amin berkata sejak penubuhan BJCK pada 2015, pihaknya telah menyediakan pendidikan kanak-kanak terpinggir di Chow Kit antaranya program persekolahan di rumah, kelas malam pada hujung minggu, Kelab Bola BJCK dan program #KolektifAnakChowKit bagi mengasah bakat serta kreativiti mereka.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan