JENAYAH & MAHKAMAH

BAYI DITEMUKAN DALAM KOTAK DI PENDANG

08/10/2024 04:44 PM

PENDANG,  8 Okt (Bernama) -- Seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan ditemukan di dalam kotak berhampiran sebuah premis usang di Kampung Rambai di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Roslan Mat berkata pihaknya menerima laporan awam pada 8.08 pagi yang memaklumkan mengenai penemuan seorang bayi lelaki masih bertali pusat di dalam kotak di premis berkenaan.

"Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi berkenaan masih dalam keadaan bertali pusat dan dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang dari 12 jam dan dibalut dengan kain pelekat di dalam kotak dan ditinggalkan di hadapan premis yang tiada penghuni.

"Bayi itu dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pendang untuk menerima rawatan dan disahkan dalam keadaan sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata kejadian itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau seterusnya berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Affendi Mohd Yunus di talian 04-7596222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan