DUNIA

GRAND DUKE LUXEMBOURG HENRI LANTIK ANAK LELAKI SEBAGAI TIMBALAN

08/10/2024 04:48 PM

LUXEMBOURG, 8 Okt (Bernama-dpa) -- Grand Duke Henri dari Luxembourg secara rasmi melantik anaknya Guillaume sebagai timbalannya pada Selasa, membuka jalan kepada pertukaran jawatan ketua negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebagai "lieutenant-representant", Hereditary Grand Duke Guillaume, 42, akan memikul "tanggungjawab tertentu" manakala Grand Duke Henri, 69, akan kekal sebagai ketua negara, menurut kementerian negeri dan istana grand ducal. Bila Henri akan turun takhta masih belum diputuskan.

Selepas menandatangani dekri pelantikan di istana, Guillaume akan mengangkat sumpah di hadapan Dewan Perwakilan. Selepas upacara itu, grand duke dan anaknya boleh disambut oleh rakyat di dataran di hadapan Parlimen dan istana.

Grand Duke Henri menjadi ketua negara bagi negara kedua terkecil di Kesatuan Eropah sejak 7 Okt 2000. Baginda mengumumkan pada Jun bahawa baginda akan melantik anaknya sebagai wakil. Henri sendiri pernah menjadi 'lieutenant-representant' selama dua setengah tahun sebelum pengunduran bapanya, Jean.

Guillaume telah berkahwin dengan Puteri Stephanie, seorang countess Belgium, sejak Oktober 2012. Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki.

Luxembourg adalah satu-satunya grand duchy yang tinggal di dunia hari ini dan mempunyai kira-kira 670,000 penduduk. Grand duke ialah gelaran untuk raja yang disenaraikan antara raja dan duke.

-- BERNAMA-dpa

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan