EKONOMI

BYD LANTIK SIME DARBY AUTO IMPORTS SEBAGAI PENGIMPORT, BYD MALAYSIA PENGEDAR DENZA

08/10/2024 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- BYD Auto Industry Co Ltd (BYD) melantik Sime Darby Auto Imports Sdn Bhd sebagai pengimport rasmi manakala BYD Malaysia Sdn Bhd (BYD Malaysia) sebagai pengedar rasmi untuk Denza, sebuah subjenama premium BYD di Malaysia.

BYD dalam satu kenyataan hari ini berkata, subjenama kenderaan elektrik (EV) mewahnya itu bersedia membawa dimensi baharu ke pasaran EV Malaysia dengan teknologi premium, ciri dan pengalaman pemanduan termaju.

“Melalui Denza, BYD menyasarkan untuk menyediakan rakyat Malaysia pengalaman EV yang pelbagai, inovatif dan premium,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia-Pasifik, Liu Xueliang berkata syarikat itu berbangga membawa teknologi EV canggih ke Malaysia sewaktu permintaan untuk mobiliti mampan itu terus berkembang.

“Dengan Denza, kami akan dapat menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan melalui teknologi dan ciri premium kami dalam industri EV. Kami percaya Denza akan mentakrifkan semula pengalaman EV premium dan menetapkan standard baharu bagi pemandu Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pemasangan dan Perniagaan Strategik Sime Darby Motors Dennis Ho berkata syarikat itu komited untuk memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan EV di Malaysia dengan membawa Denza sebahagian signifikan dalam perjalanan itu.

Pengarah Urusan BYD Malaysia Eagle Zhao pula berkata Denza menawarkan pilihan premium kepada pemandu Malaysia yang mencerminkan kemewahan dan kemampanan.

“Penggunaan pesat EV di sini adalah bukti kemajuan negara dalam menerima masa depan yang lebih bersih dan hijau. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perubahan ini dalam memperluaskan tawaran yang pelbagai serta penyelesaian inovatif kami dalam memenuhi keperluan segmen pemandu yang baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan