EKONOMI

PIAM LANTIK CHUA KIM SOON SEBAGAI CEO

08/10/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah melantik Chua Kim Soon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, menggantikan Julie Lean Gim Chong, berkuat kuasa 7 Okt 2024.

Pengerusi PIAM Ng Kok Kheng melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Chua untuk memajukan wawasan PIAM sebagai sebuah persatuan perdagangan yang dinamik dan menekankan kepentingan kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi menyokong pelbagai inisiatif industri.

Menurut persatuan itu, Chua merupakan seorang profesional dengan lebih 40 tahun pengalaman luas dalam industri insurans. Beliau telah menunjukkan kecekapan perniagaan yang komprehensif dan kemahiran kepimpinan yang serba boleh, sambil berjaya menguruskan unit serta operasi perniagaan di seluruh Singapura, India termasuk Malaysia.

Sorotan kerjayanya termasuk menerajui penerokaan perniagaan yang baharu dibangunkan,  melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan serta menyelia perancangan strategik, transformasi perniagaan termasuk operasi antarabangsa.

"Tumpuan Chua untuk memenuhi keperluan pelanggan dan saluran pengedaran yang pelbagai dalam kedua-dua sektor insurans hayat serta am telah menyediakan beliau dengan perspektif global dan pemahaman mendalam mengenai pelbagai dinamik pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerjaya Chua yang cemerlang termasuk berperanan sebagai CEO di Gibraltar BSN Life Bhd, Ketua Agensi di ACE Jerneh Insurance Bhd, CEO di AXA Insurance Singapore Pte Ltd dan Ketua Pegawai Operasi di Bharti AXA General Insurance Co Ltd (India).

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan