AM

MALAYSIA GESA ASEAN TOLAK TAWARAN BERPOTENSI SEBABKAN PERPECAHAN - PM ANWAR

09/10/2024 01:10 PM

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa negara anggota ASEAN untuk menolak tawaran yang cenderung menyebabkan perpecahan di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam seruannya berkata ASEAN perlu tegas dan tidak goyah dalam menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa kumpulan ini mesti terus kekal bersatu.

Beliau berkata ASEAN juga harus menjadi penggerak utama dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini.

“Seiring dengan peningkatan ketegangan global dan dominasi polarisasi berbanding integrasi, sebarang keretakan dan perpecahan dalam ASEAN berisiko dieksploitasi, yang boleh merugikan pusat kepimpinan dan kesatuan ASEAN,” katanya pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di sini hari ini.

Selaras dengan kepentingan keamanan dan kestabilan untuk pertumbuhan serta kemakmuran berterusan di rantau ini, Anwar berkata adalah penting bagi ASEAN untuk terus memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan rakan dialog serta rakan kongsi luar.

Beliau berkata Malaysia juga menggalakkan rakan dialog ASEAN untuk menguruskan perbezaan mereka demi mencapai hasil yang positif.

“Kita tidak boleh menekankan secara berlebihan betapa pentingnya dialog dan kerjasama sebagai asas kepada persahabatan dan hubungan baik,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia menantikan penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Rancangan Strategiknya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun hadapan.

Beliau berkata bahawa dokumen-dokumen ini akan merangka hala tuju strategik rantau ini pada masa hadapan dan mencerminkan harapan rakyat untuk sebuah wilayah yang aman, stabil, dan makmur yang akan menyumbang secara positif kepada pembangunan global.

“Ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN, kami komited untuk membina masa depan yang lebih inklusif dan mampan bagi rantau ini,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN tahun hadapan, Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa kumpulan ini akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar turut mengalu-alukan rakan sejawat baharunya dari Singapura, Lawrence Wong, dan Thailand, Paetongtarn Shinawatra, sebagai anggota baharu keluarga ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan telah bermula secara rasmi di ibu negara Laos pada Rabu dan akan berlangsung sehingga Jumaat.

Anwar, yang tiba di sini pada Selasa malam, juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialognya iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pemimpin ASEAN dan rakan dialog lain, termasuk Perdana Menteri China Li Qiang, dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken, juga menghadiri sidang-sidang tersebut.

Semasa majlis penutupan sidang kemuncak itu, Laos sebagai Pengerusi ASEAN semasa akan secara simbolik menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.

Pada majlis itu, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan